ASSALAMUALAIKUM,
Firman Allah : al-Fatihah 2
Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara semesta alam.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Perasaan Alhamdulullah adalah
perasaan kesyukuran yang melimpah pada hati mukmin sebaik sahaja ia teringat
kepada Allah, kerana kewujudan dirinya daripada mula lagi adalah daripada
limpah nikmat kurniaan Ilahi yang membangkitkan kesyukuran, pujian dan sanjungan,
malah di setiap kelip mata dan detik waktu, dan di setiap langkah Allah
melimpahkan nikmat dan rahmat-Nya ke atas seluruh makhluk-Nya terutama manusia,
kerana itu mengucap alhamdulullah di awal dan di akhir merupakan salah satu
daripada dasar-dasar kefahaman Islam secara langsung.
Firman Allah Allah-Qosos 70
Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan, di dunia dan di akhirat,
dan hanya Dialah yang berkuasa menghukum, serta kepada-Nyalah kamu
dikembalikan.
Namun demikian, kemurahan dan
limpah kurnia Allah ke atas hamba-Nya yang mukmin itu sampai ke tahap
setinggi-tingginya apabila hamba itu berkata : “alhamdulillah” , maka Allah
akan tuliskan untuknya satu balasan kebaikan yang mengatasi segala timbangan
neraca yang lain. Tersebut di dalam sunan Ibn Majah daripada Ibn Umar ra bahawa
Rasulullah saw telah menceritakan kepada mereka , iaitu ada seorang hamba Allah
mengucap kepujian dengan kata :
“Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepadamu, iaitu kepujian
yang layak dengan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu.”
Ucapan ini telah menyulitkan dua
malaikat pencatat amalan, kedua-duanya tidak tahu bagai mana hendak menulis
pahala lalu kedua-dua malaikat itu mengadapi Allah dan berkata kepada-Nya :”
ada seorang hamba mengucap pujian yang kami tidak mengetahui bagai mana hendak
menulis balasannya?” Firman Allah ( sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang
telah diucapkan oleh hambaNya itu) : Apakah pujian yang telah diucapkan oleh
hambaKu itu?” Jawab kedua-dua malaikat itu : Dia berkata , “wahai Tuhanku segala
pujian itu terpulang kepada–Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan
zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu”. Firman Allah kepada kedua-duanya : “tulislah
ucapan itu sebagai mana yang diucapkan oleh hamba-ku hingga ia menemui Aku dan
Akulah sendiri yang akan membalaskannya”.
Bertawajjuh kepada Allah dengan
mengemukakan sanjungan dan kepujian menggambarkan perasaan mukmin yang terharu
sebaik sahaja ia teringat kepada Allah sebagai mana telah kami terangkan
sebelum ini. Adapun bahagian akhir ayat :
“Tuhan yang memelihara semesta alam “
adalah
menjadikan dasar kefahaman atau kepercayaan Islam kepada sifat Rububiyah yang
mutlak dan menyeluruh itu merupakan salah satu daripada dasar-dasar Aqidah
Islam. Kata-kata Rab bererti memelihara, menguasa, pentadbir dan pengurus yang
mengendalikan urusan keislahan dan kerja-kerja tarbiah dan pengasuhan terhadap
seluruh makhluk-Nya.
Allah tidak
mencipta alam kemudian membiarkannya begitu sahaja. Malah Dia memperelokkan,
menjaga, memelihara dan mengasuhnya, kerana itu hubungan di antara Allah dan
makhluk sentiasa berterusan di setiap waktu dan keadaan.
Konsep
Rububiyah Allah yang mutlak terhadap seluruh makhluk-Nya merupakan persimpangan
jalan yang memisahkan di antara Aqidah Tauhid yang jelas dan sempurna dengan
aqidah yang kabur yang terjadi akibat daripada ketidak jelasan dan tidak
ketegasan hakikat Tauhid ini. Ramai manusia yang mengakui Allah sebagai Tuhan
Pencipta alam, tetapi di samping itu mereka mempercayai berbagai-bagai Tuhan
yang lain yang menguasai kehidupan mereka. Kepercayaan yang seperti ini nampak
jelas aneh dan lucu, tetapi itulah yang telah berlaku dan al-Quran telah
menceritakan tentang perkataan sekumpulan kaum musyrikin yang menyembah
bermacam-macam Tuhan itu:
“Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendampingkan kami
lebih dekat kepada Allah.”
Al-Quran juga
telah menceritakan tentang sekumpulan ahlil kitab :
“Mereka mengambil ulama-ulama dan paderi-paderi mereka selaku Tuhan-Tuhan
yang lain daripada Allah.”
Aqidah-aqidah
Jahiliyah yang di merata negeri semasa kedatangan Islam adalah penuh dengan
kepercayaan kepada berbagai-bagai Tuhan yang disifatkan sebagai Tuhan-tuhan
kecil di samping Tuhan yang agung mengikut sangkaan mereka.
Konsep
Rububiyah yang mutlak yang meliputi seluruh alam yang terkandung di dalam surah
ini merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara akidah yang tersusun
rapi dengan akidah yang kacau bilau. Konsep ini bertujuan supaya seluruh alam
bertawajjuh kepada Allah yang tunggal yang berkuasa penuh dan menolak semua
Tuhan yang lain, juga menghapuskan kebingungan bertawajjuh kepada
bermacam-macam Tuhan itu, dan seterusnya supaya hati seluruh alam tenang dan
tenteram kepada naungan Rububiyah Allah yang kekal dan pemeliharaan-Nya tidak
pernah putus dan tidak kunjung hilang, bukanya seperti pendapat Aristotle yang
dianggap sebagai setinggi fahaman falsafah – yang mengatakan bahawa Allah telah
mencipta alam kemudian Ia tidak memperdulikannya dengan alasan kerana martabat
Allah itu begitu tinggi dan tidak wajar untuk memikirkan sesuatu yang rendah
daripada-Nya kerana Allah hanya memikirkan tentang zat-Nya sahaja. Aristotle
yang mengeluarkan pendapat ini merupakan ahli falsafah yang paling besar dan
akalnya merupakan akal manusia yang paling tinggi.
Islam datang
ketika dunia dipenuhi dengan timbunan akidah–akidah, pemikiran-pemikiran,
dongeng-dongeng, pendapat-pendapat falsafah, kepercayaan-kepercayaan yang karut
marut, yang bercampur aduk di antara yang benar dengan yang batil, yang betul
dengan palsu, agama dengan khurafat, falsafah dengan dongeng dan hati nurani
manusia di waktu itu meraba-raba dalam gelap gelita dan dalam sangkaan-sangkaan
tanpa berpijak kepada satu keyakinan.
Padang gurun
yang tidak mempunyai sebarang kemantapan, sebarang keyakinan dan sebarang nur
itulah yang (menjadikan latar belakang) yang melingkungi kefahaman dan
pemikiran manusia terhadap-Nya, sifat-sifat-Nya, hubungan-Nya dengan para
makhluk-Nya terutama hubungan di antara Allah dan manusia.
Oleh sebab itu
hati nurani manusia tidak berupaya memperolehi satu pegangan yang kukuh
mengenai persoalan alam ini, persoalan diri mereka sendiri dan persoalan sistem
hidup mereka sebelum mereka memperolehi pegangan yang kukuh mengenai persoalan
akidah mereka, persoalan kefahaman terhadap Tuhan mereka dan sifat-sifat-Nya,
dan sebelum mereka mendapat satu keyakinan yang jelas dan lurus di tengah
gumpalan awan mendung, di tengah-tengah padang gurun dan ditengah-tengah
timbunan sampah sarap kepercayaan yang karut itu.
Seseorang itu
tidak dapat memahami betapa perlunya kemantapan ini sehingga ia mengetahui
betapa besarnya timbunan sampah kepercayaan yang karut itu, dan sehingga ia
memeriksa padang gurun yang penuh dengan berbagai-bagai akidah, berbagai-bagai
kefahaman, berbagai-bagai dongeng, berbagai-bagai pendapat, falsafah,
berbagai-bagai tanggapan yang karut dan berbagai-bagai fikiran yang kacau yang
mencemari dan mempengaruhi hati nurani manusia. Inilah keadaan yang didapati
oleh Islam ketika ia datang. Apa yang kami sebut secara sepintas lalu mengenai
kepercayaan-kepercayaan ini hanya satu bahagian kecil sahaja.(Dalam pentafsiran
surah-surah al-Quran kelak akan dibentangkan berbagai-bagai bentuk kepercayaan
itu yang diolahkan oleh al-Quran dengan pengolahan yang lengkap dan sempurna).
Oleh sebab
itulah perhatian pertama Islam adalah lebih dahulu ditujukan kepada usaha
membersihkan bidang akidah ketuhanan, menetapkan kefahaman yang meyakinkan hati
nurani mengenai Allah dan sifat-sifat-Nya dan hubungan-Nya dengan para
makhluk-Nya dengan tegas dan yakin.
Oleh sebab
itulah kepercayaan Tauhid yang sempurna, tulin, bersih dan menyeluruh, tidak
bercampur dengan sesuatu yang asing sama ada daripada dekat atau jauh,
merupakan landasan kefahaman dan kepercayaan yang dibawa oleh Islam, dan Islam
terus berusaha membersih kepercayaan ini di dalam hati nurani manusia dan
memeriksa setiap fikiran yang kotor di sekitar hakikat Tauhid itu supaya ia
bersih daripada segala kekeliruan dan kesamaran dan supaya tetap teguh tanpa
dimasuki tanggapan yang karut baik daripada apa-apa bentuk sekalipun.
Demikianlah Islam memberi kata pemutus yang begitu jelas dan terang mengenai
sifat-sifat Allah terutama sifat-sifat yang ada hubungan dengan sifat Rububiyah
yang mutlak. Kebanyakan timbunan sampah sarap kepercayaan yang wujud di padang gurun
itu ialah sampah pendapat-pendapat falsafah dan akidah-akidah yang simpang
siur, tanggapan yang kacau dan dongeng yang karut tentang persoalan sifat-sifat
ketuhanan yang amat penting ini, iaitu persoalan yang mempunyai kesan yang amat
besar di dalam hati nurani manusia dan budi pekerti mereka.
Sesiapa yang
mengkaji usaha-usaha yang berterusan yang telah dilakukan oleh Islam untuk
menegakkan kata pemutus mengenai zat Allah, sifat-sifat-Nya dan hubungan-Nya
dengan para makhluk-Nya, iaitu usaha-usaha dalam bentuk nas-nas al-Quran yang
begitu banyak tanpa mengkaji timbunan sampah sarap (kepercayaan karut) yang
berat yang wujud di padang gurun yang amat luas, di mana sesatnya umat manusia
itu, mungkin tidak dapat memahami sejauh itu. Ia memerlukan kepada penerangan
al-Quran yang berulang-ulang itu dan kepada pemeriksaan yang begitu teliti di
segala lorong dan pintu hati nurani. Tetapi dengan mengkaji timbunan sampah
sarap itu dapatlah diketahui betapa perlu usaha-usaha yang berterusan itu dan
betapa besarnya peranan yang dilakukan oleh Aqidah Islam untuk membebaskan hati
nurani manusia daripada kepenatan meraba-raba dan terumbang ambing di antara
berbagai-bagai Tuhan palsu, kepercayaan-kepercayaan dan dongeng-dongeng yang
karut marut.
Keindahan,
kesempurnaan dan keseimbangan Aqidah Islam dan kemudahan hakikat Tauhid yang
agung yang di dokong oleh Islam itu tidak terserlah kepada hati dan akal
manusia seterang yang terserlah kepadanya setelah ia lebih dahulu mengkaji dan
menyelidiki timbunan sampah sarap Jahiliyah daripada berbagai-bagai akidah,
kepercayaan, dongeng dan falsafah-falsafah terutama yang memperkatakan tentang
hakikat ketuhanan dan hubungan-Nya dengan alam. Ketika inilah terserlah bahawa
akidah Islam benar-benar merupakan rahmat yang hakiki kepada hati dan akal,
iaitu satu rahmat yang mengandungi keindahan dan kemudahan, kejelasan dan
keseimbangan, kehampiran, dan kemesraan dan hubungan harmoni secara langsung
yang mendalam dengan fitrah manusia.
No comments:
Post a Comment