ISLAMIC DEMOCRACY
Firman Allah: al-Anaam 116
Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.
“ISLAMIC DEMOCRACY” tidak wujud dalam
Aqidah dan Pemikiran Islam. Ianya adalah satu konsep Jahiliyah dan tetap kekal
sebagai Jahiliyah.
“Islamic
Democracy” adalah satu konsep yang berbentuk “paradoxical” kerana Islam itu
adalah satu pengingkaran dan penentangan yang aktif dan total terhadap
demokrasi, begitu juga demokrasi itu adalah satu pengingkaran dan penentangan
yang aktif dan total terhadap Islam.
Demokrasi adalah Jahiliyah, ia tetap kekal
sebagai Jahiliyah walaupun setelah digandingkan dengan nama atau istilah Islam;
justeru “Islamic Democracy” tetap kekal sebagai satu konsep dan terminologi
Jahiliyah. Konsep suara majoriti, pilihanraya, syura (consultation) dan ijma’
(consensus) dan konsep “separation of powers” dalam sesebuah kerajaan Islam
bukanlah demokrasi, tetapi ianya adalah konsep-konsep Islam yang bersumberkan
al-Quran dan Sunnah. Begitu juga kewujudan konsep-konsep seperti ini dalam demokrasi tidak bererti
ianya adalah Islam atau serasi dengan Islam kerana demokrasi ini adalah satu
agama yang didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia, iaitu agama yang
syirik dan kufur kerana ia menafi, menolak, mengingkari dan menentang Uluhiyah
dan Rububiyah Allah dan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ .
Friman Allah : az-Zumar 3
Dan orang-orang yang mengambil pelindung yang lain daripada Allah (berkata) : Kami tidak menyembah mereka melainkan (hanya dengan tujuan ) supaya mereka mendampingkan kami lebih dekat kepada Allah.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Inilah perbuatan syirik yang dilakukan mereka. Oleh
itu apakah sifat yang dapat diletakkan ke atas orang-orang yang tidak memohon
pertolongan Allah untuk diri mereka dengan perantaraan hamba-hamba-Nya, tetapi
mereka memohon pertolongan manusia untuk menolong agama Allah dengan
menggunakan mana-mana isme dan sistem yang diciptakan oleh manusia ?
Islam tetap Islam. Sosialisme tetap sosialisme dan
demokrasi tetap demokrasi. Islam adalah sistem hidup daripada ciptaan Allah.
Islam tidak mempunyai gelaran dan sifat yang lain daripada gelaran dan sifat
yang telah disifatkan Allah kepadanya sedangkan sosialisme dan demokrasi adalah
daripada sistem-sistem ciptaan manusia dan daripada hasil-hasil pengalaman
manusia. Oleh itu apabila mereka memilih sistem ini, maka hendaklah mereka
memilih di atas asas ini. Pendakwah agama Islam tidak seharusnya tertarik
kepada godaan fesyen-fesyen (atau aliran-aliran pemikiran) yang digemari nafsu
manusia yang sentiasa berubah-ubah itu, dan serentak dengan itu ia merasa telah
memberi perkhidmatan yang baik kepada agama Allah.
Tetapi kami ingin bertanya kepada orang-orang yang
memandang rendah kepada agama mereka sendiri dan tidak menghormatinya dengan
sewajarnya : jika kamu kemukakan Islam kepada orang ramai pada hari ini dengan
nama sosialisme atau dengan nama demokrasi berdasarkan bahawa ianya adalah dua
isme yang dianggap sebagai dua contoh aliran pemikiran yang diminati umum di
zaman ini, pada satu zaman yang lampau sistem kapitalis merupakan satu pakaian
yang digemari umum apabila mereka mengeluarkan sistem itu daripada sistem
feudal, begitu juga sistem pemerintahan mutlak atau diktatur pernah dalam satu
zaman tertentu menjadi satu sistem yang digemari, iaitu dizaman pengemblingan
kebangsaan bagi wilayah-wilayah yang bertaburan (di Eropah) sebagai mana yang
berlaku di negeri-negeri Jerman, Itali di zman Bismarck dan Mazzini, besok
siapa tahu apakah pula satu sistem daripada sistem-sistem kemasyarakatan dan
pemerintahan yang digemari umum, yang digubalkan oleh manusia untuk manusia?
Dan apakah pula pendapat yang dikatakan mereka terhadap Islam untuk dikemukakan
kepada orang ramai dalam bentuk fesyen yang digemari mereka?
Bimbingan al-Quran di dalam gelombang yang sedang
dibicarakan ini, juga di dalam gelombang yang lain adalah merangkumi persoalan
ini. Al-Quran mahu pendakwah meletakkan agama Allah di tempat yang tinggi. Para
pendakwah tidak seharusnya tertarik kepada cadangan-cadangan dan
pengesyoran-pengesyoran orang ramai. Mereka tidak seharusnya menghiaskan agama
Allah dengan nama-nama yang lain daripada nama-Nya yang sebenar dan seterusnya
mereka tidak seharusnya mengemukakan agama ini kepada orang ramai dengan
menggunakan metodologi dan cara-cara yang lain daripada metodologi dan cara
yang sebenarnya, kerana Allah Maha Kaya dan tidak memerlukan pendapat-pendapat
manusia. Siapa yang tidak menyambut agama-Nya dengan semangat Ubudiyah
kepada-Nya, dan dengan semangat mencabut dirinya daripada Ubudiyah kepada yang
lain daripada-Nya, maka agama Allah tidak memerlukannya, begitu juga Allah swt
tidak memerlukan sesiapa sama ada daripada para hamba-Nya yang taat atau para
hamba-Nya yang menderhaka.
Di samping itu, jika agama Allah mempunyai
asas-asasnya yang tulen sama ada daripada segi asas-asasnya mahupun daripada
segi cirri-cirinya, maka ia juga mempunyai asas-asas yang tulen dari segi
metodologi dan dari segi cara berbicara dengan fitrah manusia kerana yang
menurunkan agama ini dengan asas-asas dan cirri-cirinya dengan metodologi dan
cara harakatnya yang tersendiri ialah Allah yang menciptakan insan itu yang
mengetahui segala bisikan hatinya.
Firman Allah : al-An’aam 159
Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agama mereka dan membentuk berbagai-bagai puak, maka engkau sedikitpun tidak bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Sesungguhnya urusan mereka terserah kepada Allah. Kemudian Dialah yang akan memberi tahu kepada mereka segala perbuatan yang dilakukan mereka.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Rasulullah saw tidak mempunyai sebarang kaitan dengan
seluruh mereka dalam sesuatu apapun kerana agama yang dibawa beliau ialah agama
Islam, dan syariatnya adalah syariat yang termaktub di dalam kitab Allah
(al-Quran), dan sistem hidup yang dIperjuangkannya ialah sistem hidup yang
tersendiri dan unik dengan ciri-ciri yang membezakannya daripada segala sistem
hidup yang lain. Agama Islam yang dibawa beliau tidak mungkin bercampuraduk
dengan kepercayaan-kepercayaan dan kefahaman-kefahaman yang lain, begitu juga
undang-undang dan peraturannya tidak mungkin bercampuraduk dengan aliran-aliran
undang-undang dan teori-teori perundangan yang lain, dan seterusnya tidak
mengaku ada dua nama bagi satu undang-undang, satu peraturan dan sesuatu sistem
iaitu nama Islam dan satu nama yang lain. Islam tetap Islam sahaja, syariat
Islam tetap syariat Islam sahaja, sistem sosial, politik dan ekonomi Islam
tetap sistem sosial, politik dan ekonomi Islam sahaja. Rasulullah saw tidak
mempunyai apa-apa hubung kait dengan seluruh perpecahan mereka hingga ke akhir
zaman.
Tidak
wujud konsep DEMOKRASI ISLAM, atau “ISLAMIC DEMOCRACY” atau “demokrasi ala
Islam” dan konsep-konsep yang seumpamanya dalam Aqidah dan Pemikiran Islam.
Begitu juga tidak wujudnya “Islamic Socialism”, “Islamic Capitalism”, “Islamic
Nationalism”, “Islamic Secularism”, “Islamic Liberalism”, “Islamic Pragmatism”,
“Islamic Monarchy”, “Islamic Theocracy”, dan segala “ism” dan pemikiran yang
selain daripada Islam. Kesemua “ism” yang diperkatakan ini adalah kufur kerana
kesemuanya itu adalah didasarkan kepada kedaulatan manusia dan pengabdian
kepada kedaulatan manusia yang menolak sifat-sifat Uluhiyah dan Rububiyah milik
Allah dan yang menyerahkan sifat-sifat yang Maha Agung itu kepada manusia yang
merosak dan menafikan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ. Islam ini hanyalah Islam yang datang daripada Allah dan
Rasul-Nya sahaja yang sama sekali berkontradiksi dan terasing daripada
isme-isme moden ciptaan manusia yang selain daripada Allah.
Agama
Islam dalam bentuk yang direformasi dan dierti semulakan seperti yang
dikembangkan oleh Abduh, Rashid Rida, Abdul Kadir al-Maghribi, Abdul Rahman
al-Kawakibi, Hassan al-Banna, Yusuf al-Qardhawi, Hassan Tantawi dan seluruh
ulama dan intelek Islam modenis kini yang mencipta fahaman-fahaman “Demokrasi
Islam”, “Nasionalisme Islam”, “Sosialisme Islam”, “Monarki Islam”, “Kapitalisme
Islam”, adalah bertentangan secara total dengan Aqidah dan Pemikiran Islam yang
tulen daripada Allah seperti yang dianalisiskan di atas ini. Islam adalah satu
agama yang diturunkan dengan sempurna – tidak perlu ditambah, diubah suai,
dikaji semula, atau digandingkan dengan pemikiran- pemikiran ciptaan manusia.
Sebarang tambahan, tempelan, ubah suaian dan kajian semula adalah satu BIDAAH
di sisi Laaailaahaillallah. Islam adalah agama yang satu sahaja, manakala kufur
dalam berbagai bentuk dan jenis itu adalah juga agama yang satu – sekularisme, nasionalisme, kapitalisme,
sosialisme, komunisme, monarki, militarisme, demokrasi adalah agama-agama
kufur yang satu. Sekiranya kita masih berkecenderungan untuk menerima
konsep-konsep Jahiliayah Moden seperti
“Islamic Socialism”, “Islamic Democracy” dan lain-lainnya itu sebagai tidak
bercanggah dengan Islam, bolehkah kita menerima konsep-konsep “Islamic Judaism”, “Islamic Christianity”, “Islamic Hinduism”,
“Islamic Buddhism”, “Islamic Confucian”, “Islamic Shintoism” dan lain-lain
“ism” yang berbentuk Jahiliayah Tradisonal itu sebagai bersesuaian serta
tidak bercanggah dengan Islam sedangkan kesemuanya itu, “ism” moden dan “ism”
tradisional, adalah agama-agama Jahiliyah yang satu dan sama?
Kekufuran segala “ism” ini, baik yang tradisional
mahupun yang moden, adalah kerana sumbernya itu adalah pemikiran manusia yang
selain daripada Allah, dan kesemuanya itu (ism-ism) menegakkan kedaulatan
manusia serta mentaati dan mengabdikan kepada kedaulatan manusia yang bererti
bahawa segala “ism” ini menafikan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ.
Sebilangan
yang terbesar daripada kita berada dalam situasi yang terperangkap dalam kancah
kekeliruan dan kesesatan yang besar akibat daripada angkara musuh-musuh Islam
yang mencipta, menyebar, mempopular dan mengIslamkan fahaman-fahaman kufur
seperti ‘demokrasi Islam’, ‘sosialisme Islam’, ‘monarki Islam’, ‘kapitalisme
Islam’, ‘pragmatisme Islam’, ‘liberalisme Islam’, dan mereka menghabiskan masa
mereka dalam mengembang dan memperjuangkannya untuk dianuti dan dipraktikkan di
Malaysia sebagai solusi-solusi yang pragmatis dan “up-to-date” kepada segala permasalahan umat Islam kita, sedangkan
kesemuanya ini hanyalah kesesatan yang amalannya itu boleh membawa kerosakan
dan penindasan kepada umat manusia.
Seandainya
demokrasi dan sosialisme ciptaan Barat itu adalah Islam kerana beberapa aspek
daripadanya adalah selaras dan bersesuaian dengan Islam, mengapa perlunya
dipanggil dengan nama-nama “’Islamic Democracy”, “Islamic Socialism”, mengapa
tidak dipanggil dengan nama ISLAM sahaja? Agama Yahudi dan Kristian mempercayai
wujudnya Tuhan Yang Maha Kuasa, mempercayai malaikat-malaikat, kitab-kitab yang
diturunkan daripada langit, Rasul-rasul, hari kiamat dan qada’ dan qadar –
mengapa pula tidak kita namakan agama-agama ini sebagai “Yahudi Islam” dan
“Kristian Islam” kerana persamaan-persamaannya ini? Ini membuktikan bahawa
“Islamic democracy” tidak wujud dalam Islam. Di dalam tafsir Fizilalil Quran
dan “ The Isamic Concepts and its Characteristics”, Saiyyid Qutb menyifatkan
idea-idea baru seperti Islamic Democracy dan Islamic Socialism sebagai timbunan
sampah sarap atau “intellectual rubbish” yang sesat dan terkeluar daripada
pemikiran Islam yang Maha Sempurna daripada Allah swt.
Massa
umat Islam, termasuk para cendekiawan Islam dan ulama, tidak menganggap
demokrasi sebagai AGAMA, tetapi mereka menganggap dan mengertikannya sebagai
satu cara dan proses politik untuk melantik pemimpin dan mentadbirkan negara
sahaja yang sama sekali tidak ada kaitan dengan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ serta
Aqidah dan Agama; malah mereka mempercayai dan meyakini bahawa demokrasi yang
memberi hak dan kebebasan berpolitik kepada setiap individu tanpa diskriminasi
kelas dan kaum, yang memberi kebebasan beragama kepada semua agama, yang
bersikap pro-Islam dengan memberi peluang-peluang kepada pemerintah untuk
memaju dan membangunkan taraf sosio-ekonomi umat Islam, yang memberi
peluang-peluang kepada umat Islam untuk mempertahan dan memperkukuhkan kuasa
politik mereka dan yang melaksanakan program Islamisasi yang pesat dalam
pentadbiran negara, adalah sistem politik yang moden dan terkini yang
bersesuaian dengan Islam. Pemikiran seperti ini adalah kesesatan dan
penyimpangan yang amat jauh daripada sebarang kebenaran daripada Allah.
Musuh-musuh
Islam mengutarakan dalil-dalil seperti berikut bagi menyokong dakwaan mereka
bahawa demokrasi ini adalah Islam :
Firman Allah: asy-Syura 38
Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.
Firman Allah: ali-Imran 159
Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, setelah kamu berazam, bertawakkallah kepada Allah.
"Perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam komunitiku, adalah tanda rahmat Allah."As-Suyuti daripada al-Jami' as-Saghir
"Ikutilah golongan majoriti."
Ibn Majah daripada Abdullah bin Umar
Adalah menjadi tanggung jawab kamu untuk berdiri bersama-sama komuniti yang berkesapaduan dan golongan yang majoriti (al-ammah)."Ahmad bin Hanbal daripada Muadh bin Jabal
Dalil-dalil
Nas dan Hadith di atas ini yang memperkatakan tentang keputusan majoriti yang
dihasilkan daripada permesyuaratan dan perundingan di kalangan umat Islam itu,
diakui dan didakwa sebagai menyokong dan memperkuatkan lagi teori dan
kesimpulan yang dibuat oleh para ulama dan intelek Islam modenis kita bahawa demokrasi
ini menepati ciri-ciri utama dalam teori politik Islam. Teori dan kesimpulan
ini bukan sahaja merupakan satu salah tafsiran dan kekeliruan mengenai Nas-Nas
dan Hadith-Hadith ini, malah terlebih ketaranya lagi, ianya merupakan kejahilan
yang disengajakan mengenai Aqidah dan Pemikiran Islam itu sendiri.
Syura
tetap syura, iaitu keputusan majoriti hasil daripada pemesyuaratan dan
perundingan.
Namun, dalam kehidupan kita hari ini, terdapat dua bentuk syura –
Syura Islam dan syura kufur. Syura Islam adalah keputusan majoriti hasil
daripada permesyuaratan dan perundingan untuk menjalankan dasar-dasar dan
undang-undang yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Syura kufur adalah
permesyuaratan, perundingan dan keputusan majoriti untuk membuat, melulus, menjalan
dan menguat kuasakan dasar-dasar dan undang-undang yang zalim dan menindas
kerana ia datang daripada manusia yang selain daripada Allah swt. Syura yang
diperkatakan di dalam nas-nas dan hadith-hadith seperti di atas ini adalah
keputusan majoriti yang dihasilkan melalui permesyuaratan dan perundingan yang
membincangkan dasar-dasar dan undang-undang yang datang daripada Allah dan
Rasul-Nya sahaja.
Syura
dalam persoalan untuk menjalankan sistem belanjawan negara di Malaysia yang
didasarkan kepada sistem ekonomi kapitalis ciptaan manusia yang tidak datang
daripada Allah dan Rasul-Nya, adalah syura untuk menguat kuasa, merealisasi dan
menjalankan sistem kufur – syura seperti ini adalah syura kufur. Syura-syura
dalam parlimen dan pentadbiran kerajaan Malaysia adalah syura-syura yang
membincangkan isu-isu, dasar-dasar, program-program dan undang-undang ciptaan
manusia yang selain daripada Allah swt. Syura-syura seperti ini berperanan
untuk mencipta dan menghasilkan sistem kehidupan yang syirik dan kufur. Hal ini
menonjolkan satu hakikat – kewujudan syura dalam pemerintahan sesuatu negara,
tidak semestinya bererti bahawa negara itu adalah Islam.
Di
dalam negara-negara umat Islam di Timur Tengah dan Afrika Utara, keseluruhan
pemerintahannya tidak mempunyai konsep syura serta mereka langsung tidak
mengamalkannya; dalam situasi yang berbeza, dalam pemerintahan negara-negara
sekular Barat seperti Amerika (USA), Britain, Perancis dan keseluruhan
negara-negara Barat yang lain, mereka mengamalkan konsep syura dengan begitu
meluas sekali dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan mereka. Sama ada di kalangan
negara-negara umat Islam mahupun di kalangan negara-negara Barat, kewujudan dan
ketiadaan syura bukanlah menjadi faktor penentu yang mengkategorikan Islam atau
kufurnya sesebuah negara itu. Faktor penentunya hanyalah kalimah
ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ sahaja dan tidak yang selain
daripadanya – iaitu, sama ada sesuatu negara itu adalah didasarkan kepada
pengabdian yang total kepada kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ sahaja atau pengabdian kepada yang selain daripadanya (kalimah
ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ ).
Prinsip
yang mendasar dalam pemerintahan Islam ialah ketaatan kepada larangan dan
suruhan Allah, iaitu kepada MANDAT SAMAWI, dan sekali-kali tidak kepada
persetujuan (consent) dan bantahan (dissent) daripada rakyat yang berdasarkan
kepada prinsip kehendak MAJORITi atau
“will of the majority”! Ijma’,
syura, pilihanraya dan suara majoriti bukanlah konsep-konsep yang menentukan
Islam atau kufurnya sesebuah kerajaan, tetapi Aqidah sesebuah kerajaan itu
ditentukan oleh Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah dalam kalimah
ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ; manakala
ijma’, syura, pilihanraya dan suara majoriti itu merupakan pancaran, natijah
atau hasil daripada Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah dalam kalimah
ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ itu.
MAJORITI
dan MINORITI bukan kriteria Islam. Kebenaran dan kebatilan tidak ditentukan
oleh pendapat dan kehendak MAJORITI atau MINORITI, tetapi ianya ditentukan oleh
Allah dan Rasul-Nya. Sesuatu itu diterima sebagai benar atau batil, walaupun ia
hanya disuarakan oleh MINORITI, hatta oleh seorang individu sahaja, apabila
ianya datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Sebaliknya, sesuatu yang dianggap
benar atau batil oleh MAJORITI yang tidak datang daripada Allah dan Rasul-Nya,
tidak dapat diterima oleh Islam. MAJORITI atau MINORITI itu bukanlah kriteria
yang boleh menentukan kebenaran atau kebatilan sesuatu permasalahan dalam
Islam. MAJORITI bukanlah Islam dan MINORITI pula bukanlah kekufuran. Islam
ialah apa sahaja yang diajarkan kepada kita oleh Allah dan Rasul-Nya, kufur
ialah apa sahaja yang selain daripada Allah dan Rasul-Nya. Kebenaran Islam
bukan ditentukan oleh faktor-faktor MAJORITI dan MINORITI.
Firman Allah: al-Anaam 116, 117
Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya Tuhan itulah yang lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalannya dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat hidayat.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
“Dahulu kebanyakan penghuni bumi - sama seperti
penghuni bumi pada hari ini, adalah terdiri daripada pendukung-pendukung
Jahiliyah. Mereka tidak meletakkkan Allah sebagai hakim dalam segala urusan
kehidupan mereka dan tidak menjadikan syariat Allah yang terkandung dalam kitab
sucinya sebagi undang-undang dan peraturan hidup mereka dan mereka tidak
mengambil kefahaman, sistem berfikir dan sistem hidup mereka daripada hidayat
Allah dan bimbingan-bimbingan-Nya. Oleh sebab itu kebanyakan manusia di zaman
dahulu - sama seperti manusia di zaman sekarang - berada dalam Jahiliyah yang
sesat, mereka tidak mampu menunjukkan sesuatu fikiran atau pendapat atau hukum
yang berlandaskan kebenaran atau diambil daripada kebenaran, dan mereka tidak
dapat memimpin orang-orang yang taat dan mengikut mereka kecuali menuju ke arah
kesesatan sahaja. Kebanyakan manusia di zaman dahulu – sama seperti manusia di
zaman sekarang – meninggalkan ilmu pengetahuan yang diyakinkan kebenarannya dan
mengikut ilmu pengetahuan yang berlandaskan sangkaan dan agak-agakan sedangkan
ilmu pengetahuan yang seperti ini tidak membawa manusia ke mana-mana kecuali
kepada kesesatan sahaja. Demikianlah Allah mengingatkan Rasulu-Nya agar jangan
tunduk dan mengikut golongan seperti ini supaya tidak sesat daipada jalan
Allah. Beginilah maksud ayat ini secara umumnya walaupun persoalan yang
berhubung kait dengan ayat ini yang wujud di masa itu ialah persoalan kaum
musyrik yang mengharamkan sesetengah sembelihan dan menghalalkan sesetengah
yang lain sebagai mana akan dijelaskan nanti”.
Kemudian dalam ayat yang berikut al-Quran
menjelaskan bahawa satu-satunya pihak yang berwibawa menghukumkan orang ini
mendapat hidayat dan orang sesat ialah Allah yang Maha Esa sahaja yang
mengetahui hakikat para hamba-Nya dan kerana Dialah yang menetukan apakah yang
dikatakan hidayat dan apakah yang dikatakan kesesatan.
Oleh sebab itulah perlu adanya satu kaedah untuk
menentukan salah atau betulnya sesuatu Akidah, kefahaman-kafahaman, nilai-nilai
dan ukuran-ukuran yang dipegang manusia, juga untuk menentukan salah betul
aktiviti-aktiviti dan budaya-budaya kerja mereka. Pendeknya kita perlu kepada
satu dasar untuk membolehkan kita untuk memutuskan benar atau tidak benar dalam kesemua perkara yang
menjadi rukun dan teras kehidupan ini supaya perkara-perkara asasi ini tidak
diletakkan di bawah kehendak-kehendak istilah-istilah mereka yang tidak
berasaskan ilmu pengetahuan yang diyakinkan kebenarannya. Di samping itu di
sana perlu adanya satu pihak tertentu yang menentukan ukuran-ukuran bagi
perkara-perkara yang asasi ini, dan daripada pihak inilah orang ramai menerima
kaedah untuk mengukur para hamba Allah dan menimbangkan nilai-nilai.
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa
pihak-Nya sahaja yang berhak menentukan ukuran dan neraca pertimbangan ini dan
Dia sahaja yang berhak menilai manusia mengikut ukuran ini dan menentukan siapa
yang mendapat hidayat dan siapa yang sesat.
Masyarakat bukannya pihak yang berhak mengeluarkan
keputusan-keputusan yang seumpama ini mengikut istilah-istilahnya yang sentiasa
berubah-ubah, atau dengan ungkapan yang lain,yang berhak membuat
keputusan-keputusan yang seperti itu bukanlah masyarakat yang berubah-ubah
bentuknya dan asas-asas kebendaannya yang menyebabkan nilai-nilai yang dipegang
nya dan keputusan-keputusan yang diambilnya turut berubah. Akibatnya lahir
berbagai-bagai bentuk nilai-nilai dan akhlak seperti nilai-nilai masyarakat
pertanian, nilai-nilai dan akhlak masyarakat perindustrian, nilai-nilai dan
akhlak msyarakat kapitalis borjuis, nilai-nilai dan akhlak masyarakat sosialis
atau komunis. Selain daripada itu ukuran-ukuran manusia dan ukuran-ukuran
budaya kerja mereka juga turut berubah mengikut istilah-istilah masyarakat ini.
Islam tidak mengenal dasar ini , kerana Islam
mempunyai nilai-nilai sendiri yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan
nilai-nilai ini pula tetap tidak berubah walaupun bentuk masyarakat
berubah-ubah. Mana-mana masyarakat yang melanggar nilai-nilai ini akan
dinamakan mengikut istilah Islam sebagai masyarakat tidak Islamiyah atau
masyarakat Jahiliyah atau masyarakat yang mempersekutukan Allah kerana
masyarakat ini menyerah kepda pihak yang lain daripada Allah urusan mengaturkan
nilai-nilai, ukuran-ukuran, kefahaman-kefahaman, akhlak, undang-undang dan
peraturan yang bertentangan dengan apa yang telah diaturkan Allah swt. Inilah
satu-satunya bentuk pembahagian masyarakat –masyarakat yang diketahui Islam,
iaitu dibahagikan kepada masyarakat Islamiyah dan masyarakat tidak Islamiyah
atau masyarakat Islamiyah dan masyarakat Jahiliyah tanpa melihat kepada rupa
bentuk masyarakat-masyarakat itu.
Firman Allah: al-Mukminun 71
Kalau sekiranya kebenaran mengikut kehendak mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa di dalamnya.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran):
Kebenaran itu hanya satu dan tetap teguh, sedangkan
hawa nafsu itu banyak ragamnya dan berubah-ubah. Dengan lunas kebenaran yang
satu inilah Allah mentadbirkan seluruh alam buana, di mana undang-undang alam
tidak pernah menyeleweng kerana menurut suatu keinginan nafsu yang mendadak dan
tidak pernah mungkir kerana menurut suatu kegemaran yang tiba-tiba. Andainya
alam buana tunduk kepada keinginan-keinginan hawa nafsu dan kegemaran-kegemaran
yang mendadak nescaya seluruh alam buana ini musnah, seluruh manusia juga
musnah, seluruh neraca dan piawaian menjadi kacau bilau. Seluruhnya akan
terumbang ambing di antara perasaan-perasaaan marah dan suka, kasih dan benci,
gemar dan takut, cergas dan malas dan sebagainya daripada berbagai-bagai
keinginan hawa nafsu, perasaan-perasaan, dan emosi-emosi yang berubah-ubah,
sedangkan pembangunan alam fizikal dan matlamat tujuannya adalah memerlukan
kepada kemantapan, keteguhan, kestabilan dan berjalan terus di atas satu tapak
asa yang kukuh dan peraturan yang tetap yang tidak mungkir, tidak terumbang
ambing dan tidak menyeleweng. Berdasarkan tapak asas yang agung dalam pembinaan
dan pentadbiran alam buana inilah Islam menjadikan undang-undang hidup manusia
sebagai sebahagian daripada undang-undang alam buana yang dikendalikan Allah
yang mentadbir dan menyelaras segala bahagiannya, di mana makhluk manusia
sebahagian daripada alam buana dan tunduk kepada undang-undangnya yang am. Oleh
sebab itu adalah amat wajar
undang-undang hidup manusia ini diaturkan Allah yang mengaturkan
undang-undang alam buana ini dan mentadbirkannya dengan keselarasan yang
mengkagumkan. Dengan cara ini peraturan hidup manusia tidak tunduk kepada
kehendak-kehendak keinginan nafsu mereka yang akan menimbulkan kerosakan dan
kekacauan.
Malah kebenaran itu hanya mengikut kebenaran yang
kulli dan mengikut tadbir Allah Yang Maha Pentadbir.
Umat yang menerima agama Islam inilah umat yang
paling wajar mengikut kebenaran yang diperjuangkan Islam. Di samping agama
Islam merupakan agama yang benar, ia juga adalah kemulian dan nama baik mereka,
kerana tanpa agama Islam mereka tidak akan mempunyai nama yang harum di seluruh
alam.
Umat Arab tidak pernah menempa nama harum dalam
sejarah dunia sehinga mereka menerima agama Islam, kemudian nama mereka bergema
di telinga generasi-genarasi umat manusia selama mereka berpegang teguh dengan
agama itu, kemudian mereka tidak lagi dikira dalam barisan negara–negara yang
disegani di dunia dan selain itu mereka tidak akan mempunyai nama harum lagi
melainkan pada hari mereka pulang kepada namanya yang agung (Islam).
Selepas selingan ini, yang dikemukakan untuk
dakwaan mereka yang bukan-bukan terhadap kebenaran yang datang kepada mereka
dan untuk menentang tindakan mereka yang menolak dan menuduh kebenaran itu,
maka al-Quran kembali mengecam sikap mereka dan memperdebatkan
kekeliruan-kekeliruan yang mungkin menghalang mereka daripada menerima ajaran
yang benar yang dibawa oleh Rasul mereka yang jujur dan amanah itu.
Saiyyid
Qutb menghuraikan bahawa MAJORITI bukanlah Islam dan MINORITI pula bukanlah
kekufuran. Islam adalah apa sahaja yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya,
sedangkan kufur adalah apa sahaja yang datang daripada manusia yang selain
daripada Allah dan Rasul-Nya.
Firman Allah : ar-Raad 19Apakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu adalah benar sama dengan orang yang buta? Hanya orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran.
Saiyyid Qutb (Fizilalil
Quran) :
Kehidupan manusia di bumi
ini tidak akan menjadi baik melainkan dengan kepimpinan yang celik yang
berjalan mengikut hidayat Allah Yang Maha Esa sahaja, iaitu kepimpinan yang
mengatur dan menyusun seluruh kehidupan mengikut agama dan hidayat Allah.
Kehidupan manusia tidak boleh menjadi sihat dengan kepimpinan-kepimpinan yang
sesat dan buta, kepimpinan yang tidak mengetahui bahawa peraturan-peraturan
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw itulah satu-satunya peraturan yang
benar, kepimpinan yang mengikut sistem-sistem hidup yang lain daripada sistem
hidup Allah yang dipilih untuk para hamba-Nya yang soleh. Kehidupan manusia
tidak boleh menjadi betul dengan sistem feodalis dan kapitalis, tidak juga
boleh menjadi baik dengan sistem komunis dan sosialis ilmiyah. Semua sistem ini
merupakan sistem-sistem orang-orang yang buta yang tidak sedar bahawa peraturan
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw itulah satu-satunya peraturan yang
benar, yang tidak seharusnya dielakkan daripadanya dan tidak seharusnya pula
dibuat apa-apa pindaan kepadanya. Kehidupan manusia tidak akan menjadi baik
dengan sistem teokrasi dan tidak pula dengan system diktatur atau sistem
demokrasi. Semuanya sama sahaja, iaitu semuanya daripada sistem-sistem orang
yang buta yang meletakkan diri sendiri sebagai Tuhan-tuhan yang lain daripada
Allah. Semuanya cuba mengadakan sistem-sistem pemerintahan dan sistem hidup
yang tersendiri. Semuanya membuat undang-undang dan peraturan-peraturan yang
tidak diizsinkan Allah. Semuanya memperhambakan manusia kepada undang-undang
yang diciptakan mereka dan semuanya membuat manusia taat kepada yang lain
daripada Allah.
Seluruh
umat Islam di Malaysia kita kini adalah orang-orang buta yang dipimpin oleh
orang-orang buta. Orang-orang yang tidak menerima peraturan dan undang-undang
daripada Allah adalah disifatkan Allah sebagai orang-orang buta. Para pemimpin kita
adalah orang-orang buta kerana mereka tidak menerima peraturan dan
undang-undang Allah tetapi mereka membuat peraturan dan undang-undang mereka
sendiri yang dikuat kuasakan ke atas kita. Inilah gejala si buta yang dipimpin
oleh si buta yang mengeluarkan seluruh kita ini daripada beriman dengan kalimah
ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ dan yang memasukkan kita ke dalam
kesyirikan dan kekufuran.
Kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ bererti kebenaran dan kesempurnaan itu hanyalah daripda Allah
dan Rasul-Nya sahaja. Tidak ada kebenaran dan kesempurnaan dalam sistem
pemerintahan demokrasi yang didasarkan kepada konsep “will of the majority” dan kepada slogan-slogan “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk
rakyat”. Allah SWT memberi peringatan kepada kita bahawa sekiranya kita
berpegang kepada pendapat MAJORITI yang tidak dirujukkan kepada Allah dan Rasul-Nya,
kita akan dibawa kepada kesesatan. Islam menyangkal, mengingkari dan menolak
konsep melegitimasi dan membenarkan sesuatu dasar, sistem dan hukum di atas
konsep permesyuaratan, persetujuan dan kehendak suara MAJORITI yang tidak
dirujukkan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Firman Allah : al-Anaam 71
Katakanlah : “Hidayat Allah adalah hidayat yang benar .”
Firman Allah : al-Anaam 73
Firman-Nya itulah yang benar .
Firman Allah : Luqman 30
Hal yang demikian kerana Allah itulah yang benar
Firman Allah : Yunus 32
Tiada lagi selepas hidayat yang benar melainkan kesesatan
Firman Allah : al-Imran 19
Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam .
Allah
yang SATU bererti KEBENARAN yang SATU. Ayat-ayat ini menyokong dan
memperkuatkan lagi prinsip kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ bahawa KEBENARAN hanyalah SATU sahaja yang datang daripada
Allah dan Rasul-Nya. Ideologi, pemikiran, sistem dan undang-undang ciptaan
manusia yang selain daripada Allah adalah kebatilan, kekufuran dan Jahiliyah.
Justeru Demokrasi dan “Islamic Democracy” ciptaan manusia tetap kekal sebagai
kebatilan, kekufuran dan Jahiliyah. Ianya tetap Jahiliyah walaupun majoriti
daripada umat Islam kita, kerajaan kita dan para ulama dan intelek Islam kita
kesemua sepakat mengatakan bahawa ianya adalah Islam atau bersesuaian dengan
Islam kerana Allah sendiri sudahpun menetapkannya sebagai Jahiliyah seperti
mana yang ditetapkan Allah dalam segala konsep Uluhiyah dan Rububiyah Manusia.
No comments:
Post a Comment