Monday 1 October 2012

SYARIAT ISLAM - SIRI PERTAMA


SYARIAT ISLAM

Firman Allah: al-Maidah 48  
Bagi tiap umat kami telah mengadakan satu syariat dan jalan.

Firman Allah : al-Jaathiyah 18  
Kemudian Kami telah jadikan engkau di atas satu syariat daripada perintah Allah . Oleh itu ikutilah syariat itu dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui .

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Demikianlah jelasnya perintah ini iaitu sama ada mengikut syariat Allah atau mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. Tidak ada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah di antara syariat yang lurus dan hawa nafsu yang berubah-ubah. Setiap orang yang meninggalkan agama Allah bererti berhakim kepada hawa nafsu, kerana selain daripada peraturan syariat ialah peraturan hawa nafsu yang amat digemari orang-orang yang tidak mengetahui.

Allah swt mengingatkan Rasul-Nya supaya jangan mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui, kerana mereka tidak memberi faedah sedikitpun kepada-Nya untuk menyelamatkan diri daripada azab Allah. Mereka saling melindungi satu sama lain, tetapi mereka tidak dapat memudharatkannya walaupun sedikit kerana Allah menjadi Pelindungnya.

Inilah satu-satunya syariat yang layak dengan sifat ini dan selain daripada syariat adalah hawa nafsu belaka yang berpunca daripada kejahilan. Oleh itu hendaklah Rasul yang memegang teraju dakwah ini mengikut dan mematuhi peraturan-peraturan syariat sahaja dan meninggalkan segala peraturan hawa nafsu. Hendaklah dia jangan sedikitpun menyeleweng daripada peraturan syariat kepada mana peraturan hawa nafsu, kerana pemimpin-pemimpin peraturan hawa nafsu ini terlalu lemah untuk mempertahankan dirinya daripada azab Allah yang menciptakan syariat itu. Mereka bersatu dan bekerjasama dalam menentang Rasul, oleh itu Rasul tidak seharusnya menaruh harapan kepada sesetengah mereka untuk membantunya atau mengharapkan mereka menjauhi hawa nafsu yang terikat kuat dengan mereka. Tetapi mereka terlalu lemah untuk menindas Rasul kerana Allah adalah Pelindung para Muttaqin.

ALLAH SWT telah menyediakan syariat Allah yang sempurna dan “complete” untuk kita amalkan. Allah melarang kita daripada mengambil syariat manusia seperti peraturan dan undang-undang demokrasi yang sedang dilaksana dan dikuatkuasakan ke atas kita sekarang ini kerana mengambil syariat demokrasi bererti beriman kepada hawa nafsu dan terkeluar daripada beriman dengan kalimah  ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ yang akan diazab di akhirat nanti.

Firman Allah: al-A’raf 54 
Kepunyaan Allahlah segala kejadian dan kepunyaan Allah segala pemerintahan. Maha Tinggi Allah Pentadbir sekian alam.

Alam semula jadi dan hidupan-hidupan adalah ciptaan Allah dan kesemuanya itu mentaati undang-undang biologi dan fizikal daripada Allah. Oleh itu manusia yang dijadikan Allah sewajarnya mentaati syariat Allah dalam seluruh sistem kehidupan mereka – politik, ekonomi, sosial, akhlak dan peribadatan ritual.

Undang-undang politik, ekonomi dan sosial untuk manusia hendaklah seimbang, selaras dan harmoni dengan undang-undang fizikal alam dan kehidupan alam biologi supaya dunia ini ditadbirkan dengan sempurna dan seimbang mengikut fitrah dan tabiat semula jadinya. Hanya undang-undang politik, ekonomi dan sosial daripada Allah sahaja yang berkemampuan untuk memperolehi keseimbangan, kesesuaian dan harmoni dengan kesemula jadian undang-undang fizikal alam kosmos dan undang-undang kehidupan alam biologi. Kontradiksi, konflik dan ketidak-harmonian di antara undang-undang alam dan hidupan-hidupan yang semula jadi dengan undang-undang politik dan sosial ciptaan manusia akan menimbulkan berbagai kepincangan, kebencanaan dan penindasan dalam pentadbiran dan perjalanan alam semesta dan kehidupan manusia. Tesis yang hendak dipaparkan dalam isu ini ialah - barang siapa yang mempunyai kuasa dan otoriti ke atas alam kosmos, bumi dan hidupan-hidupan, Dialah yang selayaknya mempunyai kuasa dan otoriti untuk memerintah ke atas kehidupan sosial manusia; dalam lain-lain perkataan, syariat Allahlah yang selayaknya dilaksana dan ditaati oleh manusia sekalian, baik Islam mahupun bukan Islam. Allah yang mencipta manusia sahaja yang memahami dengan terperinci mengenai kekuatan dan kelemahannya, dan oleh itu Allah sahaja yang mengetahui untuk menyediakan sistem hidup untuk manusia.

Manusia yang dicipta oleh Allah untuk menjalani kehidupan di dalam alam yang dicipta oleh Allah, hendaklah dengan menggunakan manual atau buku panduan daripada Allah yang hanya terkhusus bagi manusia dan alam semesta. Hanya manual daripada Allah sahaja yang berupaya untuk mewujudkan perimbangan di antara manusia dan persekitaran alam semesta yang boleh menjaminkan kemakmuran dan keamanan. Manual daripada Allah ini wujud dalam bentuk sistem-sistem politik daripada Allah, ekonomi daripada Allah, sosial daripada Allah dan akhlak daripada Allah.

Manual ciptaan manusia yang mengabdikan manusia kepada sesama manusia membawa kepada kebencanaan dan penindasan. Sistem pemerintah demokrasi dengan segala perundangannya adalah manual ciptaan manusia yang menafikan manual ciptaan Allah. Dan kafir, zalim dan fasiklah orang-orang yang menggunakan manual ciptaan manusia untuk mentadbir manusia dan alam semesta. Inilah pengertian yang terkandung di dalam kalimah “kepunyaan Allahlah segala kejadian dan kepunyaan Allahlah segala pemerintahan” (7:54).

Undang-undang Allah sahaja yang sesuai untuk mentadbir manusia yang dicipta Allah. Undang-undang manusia tidak layak untuk mentadbir manusia . Ia hanya akan membawa kepada kerosakan dan kebencanaan kepada manusia dan alam semesta. Justeru Allah telah menyediakan undang-undang Allah untuk mentadbir manusia dengan sempurna.

Saiyyid Qutb menyatakan (Milestone):
“Syariah meliputi kepercayaan-kepercayaan Islam dan konsep-konsep serta segala implikasinya mengenai sifat-sifat Allah s.w.t., kesemulajadian alam semesta, apa yang dapat dilihat dan yang tidak dapat dilihat, kesemula jadian kehidupan, apa yang ternyata dan apa yang tersembunyi di dalamnya (kehidupan) dan kesemula jadian manusia, dan perhubungan-perhubungan di antara kesemua ini (Allah, alam, kehidupan dan manusia). Dalam kaedah yang sama, ianya (syariah) meliputi hal ehwal politik dan kenegaraan, sosial dan ekonomi serta segala prinsipnya dengan maksud bahawa segala-galanya itu menggambarkan pengabdian yang total kepada Allah s.w.t. semata-mata.”

Syariat Islam adalah terdiri daripada peraturan dan undang-undang, nilai-nilai, tradisi dan kebudayaan daripada Allah. Tanpa Syariat Islam bererti tiadalah Agama Allah. Mengucap dua kalimah syahadah bererti mengaku dan berikrar dengan lidah dan hati untuk menerima dan beriman kepada peraturan, undang-undang dan sistem hidup daripada Allah dengan sekali gus untuk menafi, menolak, mengingkari dan menentang dengan terbuka, aktif dan total terhadap peraturan, undang-undang dan sistem kehidupan manusia yang selain daripada Allah. Undang-undang Islam tidak terpisah daripada agama. Ia bersumber daripada Agama. Dalam negara kita Malaysia, tidak ada syariat Islam. Yang ada hanyalah syariat Sekular-Nsionalis-Demokratik-Kapitalis yang syirik dan kufur kerana ianya adalah ciptaan manusia yang selain daripada Allah. Syariat Islam hanya terhad kepada syiar-syiar ibadat sahaja seperti solat, puasa, zakat, haji, dan tidak ada syariat Islam dalam bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan antarabangsa. Tanpa syariat Islam ianya bererti Agama Islam tidak wujud dalam negara kita. Justeru negara kita Malaysia adalah negara yang kafir, zalim, fasik dan Jahiliyah! 
Tujuan-tujuan Syariat Islam adalah untuk memelihara, mempromosi dan mempertahankan :

1.  Kebebasan beragama dan beribadat yang tidak hanya terhad kepada solat dan segala syiar ibadat kepada Allah sahaja, malah ianya meliputi ketaatan dan kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang Allah dalam bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa;

2.  Kebebasan berfikir dan bertindak di kalangan seluruh umat manusia mengikut batas-batas yang digariskan oleh Allah;

3.     Hak kepada harta yang dikuat kuasakan oleh peraturan dan undang-undang Allah;

4.  Kemanusiaan di kalangan umat manusia yang wujud dan berada di bawah peraturan dan undang-undang Allah serta kekuasaan Allah, iaitu di bawah Uluhiyah dan Rububiyah Allah dan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ;

5.    Keturunan yang bertakwa yang wujud dan hidup di bawah peraturan dan undang-undang Allah, nilai-nilai dan neraca-neraca Allah, dan di dalam masyarakat Islam, persekitaran Islam dan kebudayaan Islam .

Inilah Maqasid as-Syariah, iaitu Tujuan-tujuan Syariat Islam seperti yang digariskan di atas ini yang tugas-tugasnya adalah untuk memelihara, mempromosi dan mempertahankan agama Islam, keadilan Islam, sistem kehidupan Islam dan masyarakat Islam. Syariat Islam memelihara dan mempertahankan sesuatu masyarakat Islam daripada dicerobohi, dipengaruhi dan diresapi oleh unsur-unsur Jahiliyah, dan ia memperkasa dan memantapkan lagi segala unsur Islam dalam kehidupan umat manusia agar mereka tetap dan terus bertakwa.

Syariat Islam tidak wujud dan tidak diamalkan di dalam negara Malaysia kita ini dan justeru tujuan-tujuan syariat Islam sememangnya tidak wujud dan tidak boleh dimanfaati. Yang wujud dan sedang diamalkan hanyalah syariat demokrasi yang berperanan untuk MENGUAT KUASA, MEMPERTAHANKAN dan MEMPERKASAKAN lagi Jahiliyah dan sistem kehidupan Jahiliyah, selanjutnya ia berperanan dan beroperasi untuk MEMISAH, MENGASING dan MENJAUHKAN massa umat Islam daripada Islam dan sistem kehidupan Islam.     

Syariat Islam yang diamalkan di Malaysia di bawah enakmen-enakmen kerajaan-kerajaan negeri hanyalah terhad kepada hal-hal yang tersenarai di dalam Jadual 9, Senarai 2, Perlembagaan Negara sahaja, yang hanya meliputi undang-undang nikah kahwin, khalwat, penjagaan anak-anak dan keluarga sahaja tanpa meliputi hal-hal politik, ekonomi, sosial, nilai-nilai hidup dan norma-norma moral dalam masyarakat. Ini bukanlah syariah Islam dalam erti katanya yang sebenar seperti mana yang diturunkan kepada kita daripada Allah swt. Kita sebenarnya sedang mempraktikkan syariah kufur yang berteras dan bersumberkan Perlembagaan Negara ciptaan manusia yang syirik dan kufur serta yang membawa KEROSAKAN dan KEBENCANAAN kepada manusia.

Kriteria yang menentukan ISLAM atau KUFUR sesuatu SYARIAT adalah konsep-konsep ULUHIYAH dan RUBUBIYAH – syariat yang didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Allah adalah Syariat Allah manakala syariat yang didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia adalah Syariat Manusia yang syirik dan kufur. Dalam sistem politik demokrasi, syariatnya itu adalah hak dan ciptaan manusia serta seluruh manusia mentaati dan mematuhinya – ini bererti syariat demokrasi ini adalah didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia yang menafi, menolak, mengingkari dan menentang Uluhiyah dan Rububiyah Allah dan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ. Justeru syariat demokrasi yang didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia adalah syariat yang syirik dan kufur.

Dalam mempertemu dan menyesuaikan di antara undang-undang alam semula jadi dengan undang-undang kehidupan sosial manusia, pencipta undang-undang sosial manusia hendaklah yang amat bijaksana, luas ilmunya dan terhindar daripada sebarang kelemahan dan kekurangan; sifat-sifat seperti ini hanya dimiliki Allah s.w.t.

Firman Allah: al-Baqarah 232  
Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.

Firman Allah: al-Isra 85  
Dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan itu melainkan sedikit sahaja.

Manusia dengan kebijaksanaan dan ilmunya yang terhad tidak berkemampuan untuk mencipta undang-undang sosial manusia walaupun diperingkat yang paling minimum kesempurnaannya dan tidak mampu pula untuk mengharmoniskannya dengan undang-undang fizikal alam semula jadi dan undang-undang kehidupan alam biologi yang semula jadi dan dengan itu berlakulah segala kepincangan, malapetaka dan kebencanaan kepada perjalanan semula jadi alam dan kehidupan sosial manusia apabila manusia yang memutuskan segala perundangan hidup seperti yang kita amalkan sekarang di bawah kerajaan demokrasi. Allah yang Maha Mengetahui itulah sahaja yang layak menciptakan undang-undang politik, ekonomi dan sosial yang sempurna untuk manusia dan berupaya untuk diharmoniskan dengan undang-undang fizikal alam kosmos dan undang-undang biologi bagi hidupan-hidupan yang semula jadi, dan oleh itu mewujudkan pentabdiran dan pemerintahan di kalangan manusia dan ke atas alam semesta yang amat sempurna, harmonis, seimbang, adil, bebas dan aman.

Firman  Allah  :asy-Syura 21  
Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan – mana-mana bahagian daripada agama mereka – sebarang undang-undang yang tidak diizinkan Allah?


Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
“Tiada seorangpun daripada makhluk yang berhak mensyariatkan peraturan-peraturan agama yang berlainan daripada peraturan-peraturan yang telah disyariatkan Allah SWT dan diizinkan oleh-Nya biarpun siapa sahaja. Hanya Allah SWT sahaja yang berhak untuk mensyariatkan peraturan-peraturan agama kepada hamba-hamba-Nya, kerana Dialah Pencipta seluruh alam buana ini dan Dialah yang mentadbirkannya dengan undang-undang agung-Nya yang dipilih untuk alam ini, sedangkan kehidupan manusia hanya merupakan seolah-olah sebiji piring yang kecil diroda alam yang besar. Oleh kerana itu kehidupan manusia pastilah ditadbirkan dengan satu peraturan yang sesuai dengan undang-undang alam yang agung itu, hal ini tidak mungkin terlaksana melainkan apabila peraturan-peraturan itu disyariatkan oleh Allah SWT yang mengetahui selok belok undang-undang yang agung itu. Seluruh mereka yang lain daripada Allah SWT tidak syak lagi mempunyai pengetahuan yang terbatas belaka dan tidak boleh diamanah untuk mengaturkan syariat bagi mentadbirkan kehidupan manusia.”

Allah sahaja yang berhak untuk membuat undang-undang untuk ditaati dan dipatuhi oleh manusia, manusia tidak berhak untuk berbuat demikian. Kerajaan demokrasi Malaysia mensyariatkan peraturan dan undang-undang agama yang selain daripada Allah untuk diterima, diiktiraf, diamal dan ditaati oleh hamba-hamba Allah yang mempunyai pengertian bahawa ia (kerajaan demokrasi Malaysia) menggubal, membuat dan menjalankan undang-undang dan peraturan agama dalam ibadat, politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antara bangsa untuk diamalkan oleh kesemua manusia yang sekali gus bererti bahawa ia membatal dan memansukhkan peranan Allah SWT sebagai penggubal undang-undang agama yang tunggal dan eksklusif untuk diamal dan ditaati oleh hamba-hamba-Nya. Sikap dan tindakan mereka seperti ini mempunyai pengertian bahawa para pemimpin kita ini telah melantik diri mereka sebagai Tuhan-Tuhan yang layak untuk berkuasa, berdaulat dan memerintah ke atas manusia serta Tuhan-tuhan yang layak untuk disembah oleh manusia.

Undang-undang dan peraturan-peraturan agama bukanlah yang dimaksudkan kepada segala peraturan dan undang-undang seperti yang kini ditadbirkan oleh Majlis-majlis Agama Islam sahaja (Perlembagaan Persekutuan - jadual 9, senarai 2), malah ianya adalah dimaksudkan kepada segala PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG AGAMA yang meliputi seluruh bidang dan cabang kehidupan manusia – undang-undang politik, ekonomi, sosial, jenayah, keluarga, ibadat, akhlak dan perhubungan antarabangsa seperti mana yang dibuat dan diluluskan oleh Parlimen di bawah fasal 44 dan dikuat kuasakan oleh kerajaan di bawah fasal 43 Perlembagaan Persekutuan, serta segala peraturan dan undang-undang yang kini ditadbir dan dikuat kuasakan di bawah peruntukan jadual 9, senarai ke 2, Perlembagaan Persekutuan. Kesemuanya ini adalah tergolong ke dalam kategori yang diertikan sebagai PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG AGAMA, iaitu agama manusia yang syirik dan kufur kerana ianya adalah agama yang dibuat dan dikuat kuasakan oleh manusia ke atas seluruh umat manusia. 

Seluruh umat manusia yang mengamalkan segala peraturan dan undang-undang manusia, yang mentaati dan mematuhinya serta mereka menyetujui dan meredhainya, adalah disifatkan Allah sebagai orang-orang yang mengimani, menganuti dan mengamalkan agama manusia yang mengeluarkan mereka daripada agama Allah.

Undang-undang agama seperti ini hanyalah layak untuk digubal oleh Allah SWT sahaja supaya pengabdian yang total itu hanyalah kepada dan untuk Allah SWT sahaja yang menyempurnakan pegangan dan amalan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ.

Al-Quran mendasarkan bahawa PERATURAN dan UNDANG-UNDANG adalah AGAMA :

Firman Allah: al-Nisa 59  
Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan orang-orang yang berkuasa di antara kamu.

Sayyid Qutb (Fizilalil Quran- an-Nisa) :
Di dalam ayat yang pendek ini Allah swt menjelaskan syarat keimanan dan takrif keIslaman dalam masa ia menjelaskan dasar sistem asasi kelompok Muslimin, dasar kehakiman dan sumber kekuasaan dan semuanya itu adalah bermula dan berakhir pada titik dasar menerima segala undang-undang dan peraturan daripada Allah yang Maha Esa sahaja dan merujukkan kepada sunnah segala perkara yang tidak ada nas, iaitu perkara-perkara perincian kehidupan yang timbul dalam kehidupan manusia di sepanjang generasi yang silih berganti dan mengakibatkan pertentangan fikiran-fikiran, pendapat-pendapat dan pemahaman-pemahaman supaya di sana ada satu neraca yang tetap yang dapat dirujukkan fikiran-fikiran, pendapat-pendapat dan pemahaman-pemahaman yang bercanggah itu.

Hak hakimiyah, iaitu hak dan kuasa memerintah dan menetapkan undang-undang dan peraturan-peraturan dalam urusan kehidupan manusia sama ada kecil atau besar adalah dimiliki oleh Allah swt sahaja dan Allah telah mengaturkan syariat-Nya dan memuatkan di dalam kitab suci-Nya al-Quran dan Dia telah mengutuskan seseorang Rasul membawa syariat itu supaya beliau menjelaskannya kepada umat manusia. Oleh sebab itu apa yang dijelaskan oleh beliau bukanlah hasil daripada pemikiran hawa nafsunya kerana itu sunnah Rasulullah saw merupakan sebahagian daripada syariat Allah.

Allah Itu wajib ditaati dan di antara ciri-ciri Uluhiyah ialah hak dan kuasa mengaturkan syariat. Oleh sebab itu syariat Allah wajib diamalkan dan dilaksanakan dan adalah menjadi kewajipan orang-orang beriman mentaati kepada Allah – pertama-tamanya – dan mentaati kepada Rasul-Nya kerana sifat sebagai utusan daripada Allah. Oleh itu jelaslah bahawa ketaatan kepada Rasul itu adalah tergolong daripada ketaatan kepada Allah yang telah mengutus beliau membawa syariat –Nya supaya beliau menjelaskannya kepada umat manusia di dalam Sunnahnya

Peraturan dan undang-undang adalah agama. Peraturan dan undang-undang Islam adalah agama Islam, manakala peraturan dan undang-undang demokrasi adalah agama demokrasi. 

Peraturan dan undang-undang dalam bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa di dalam negara kita Malaysia adalah peraturan dan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen, iaitu ianya adalah peraturan dan undang-undang yang dibuat oleh manusia dan tidak peraturan dan undang-undang daripada Allah. Ini bermakna bahawa negara kita Malaysia mempraktik dan mengamalkan peraturan dan undang-undang yang syirik dan kufur dalam bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa yang menyebabkan negara kita Malaysia ini adalah selayaknya disifatkan sebagai negara yang syirik dan kufur atau Darul Harb mengikut pengertian kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ.

Firman Allah: al-Anaam 153  

Sesungguhnya ini jalan-Ku yang lurus, oleh itu ikutilah dia, dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti bercerai berai kamu daripada jalan-Nya.

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Tujuan ayat ini ialah untuk menunjukkan maksud atau kesimpulan yang di ambil daripada keseluruhan penerangan yang terkandung dalam rangkaian ayat-ayat ini, dan kesimpulan itu diungkapkan dalam satu pernyataan yang terang dan tegas iaitu kedudukan syariat dalam Islam adalah sama dengan kedudukan Aqidahnya dalam menentukan sifat syirik atau sifat Islam, malah Syariat Islam adalah daripada Aqidahnya dalam kesimpulan ini, kerana Syariat merupakan terjemahan Aqidah di alam kenyataan. Di samping itu hakikat yang asasi ini dapat dilihat dengan jelas daripada nas-nas al-Quran dan pembentangannya dalam metodologi al-Quran .

Inilah hakikat yang telah disisihkan daripada konsep agama di dalam hati penganut-penganut agama Islam. Ia telahpun disisihkan secara berterusan berabad-abad lamanya dengan berbagai-bagai cara dan saranan yang jahat dan keji hingga pada akhirnya kebanyakan pemeluknya, apatah lagi musuh-musuhnya dan pemeluk-pemeluknya yang tidak bertanggungjawab dan mempedulikannya, menganggapkan isu Hakimiyah sebagai isu yang terpisah daripada isu Aqidah. Keghairahan hati mereka terhadap isu Hakimiyah tidak sama dengan keghairahan mereka terhadap isu Aqidah. Mereka tidak memandang perbuatan menyimpang daripada isu Hakimiyah sebagai perbuatan menyimpang daripada agama ini atau sama dengan perbuatan orang yang menyimpang daripada Aqidah atau Ibadat, sedangkan agama ini tidak pernah memisahkan di antara Aqidah, Ibadat dan Syariat. Itulah pemisahan yang dirancang dan dilaksanakan oleh jentera-jentera yang terlatih berabad-abad lamanya hingga persoalan Hakimiyah pada akhirnya menjadi satu persoalan yang kabur walaupun di sisi pejuang-pejuang Islam yang ghairah, sedangkan isu Hakimiyah merupakan isu yang ditekan untuk menjelaskan peraturan-peraturan syariat, malah maudhu’ utmanya untuk menjelaskan soalan aqidah. Surah ini telah mengumpulkan berbagai-bagai fakta yang kuat  dan berbagai-bagai pernyataan ini untuk menegakkan kewibawaan syariat ketika ia membicarakan beberapa peraturan kecil yang diamal mengikut tradisi masyarakat (Arab) kerana peraturan-peraturan itu berkaitan dengan dasar besar Hakimiyah, sedangkan dasar besar ini pula berkait rapat dengan dasar dan dengan kewujudan hakiki agama ini.

(BERSAMBUNG)

No comments:

Post a Comment