Monday 1 October 2012

AL-FATIHAH


ASSALAMUALAIKUM,
Firman Allah : al-Fatihah 2
Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan yang memelihara semesta alam.

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Perasaan Alhamdulullah adalah perasaan kesyukuran yang melimpah pada hati mukmin sebaik sahaja ia teringat kepada Allah, kerana kewujudan dirinya daripada mula lagi adalah daripada limpah nikmat kurniaan Ilahi yang membangkitkan kesyukuran, pujian dan sanjungan, malah di setiap kelip mata dan detik waktu, dan di setiap langkah Allah melimpahkan nikmat dan rahmat-Nya ke atas seluruh makhluk-Nya terutama manusia, kerana itu mengucap alhamdulullah di awal dan di akhir merupakan salah satu daripada dasar-dasar kefahaman Islam secara langsung.

Firman Allah Allah-Qosos 70
Segala puji-pujian terpulang kepada Allah Tuhan, di dunia dan di akhirat, dan hanya Dialah yang berkuasa menghukum, serta kepada-Nyalah kamu dikembalikan.

Namun demikian, kemurahan dan limpah kurnia Allah ke atas hamba-Nya yang mukmin itu sampai ke tahap setinggi-tingginya apabila hamba itu berkata : “alhamdulillah” , maka Allah akan tuliskan untuknya satu balasan kebaikan yang mengatasi segala timbangan neraca yang lain. Tersebut di dalam sunan Ibn Majah daripada Ibn Umar ra bahawa Rasulullah saw telah menceritakan kepada mereka , iaitu ada seorang hamba Allah mengucap kepujian dengan kata :

“Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepadamu, iaitu kepujian yang layak dengan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu.”

Ucapan ini telah menyulitkan dua malaikat pencatat amalan, kedua-duanya tidak tahu bagai mana hendak menulis pahala lalu kedua-dua malaikat itu mengadapi Allah dan berkata kepada-Nya :” ada seorang hamba mengucap pujian yang kami tidak mengetahui bagai mana hendak menulis balasannya?” Firman Allah ( sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang telah diucapkan oleh hambaNya itu) : Apakah pujian yang telah diucapkan oleh hambaKu itu?” Jawab kedua-dua malaikat itu : Dia berkata , “wahai Tuhanku segala pujian itu terpulang kepada–Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu”. Firman Allah kepada kedua-duanya : “tulislah ucapan itu sebagai mana yang diucapkan oleh hamba-ku hingga ia menemui Aku dan Akulah sendiri yang akan membalaskannya”.
Bertawajjuh kepada Allah dengan mengemukakan sanjungan dan kepujian menggambarkan perasaan mukmin yang terharu sebaik sahaja ia teringat kepada Allah sebagai mana telah kami terangkan sebelum ini. Adapun bahagian akhir ayat :

“Tuhan yang memelihara semesta alam “

adalah menjadikan dasar kefahaman atau kepercayaan Islam kepada sifat Rububiyah yang mutlak dan menyeluruh itu merupakan salah satu daripada dasar-dasar Aqidah Islam. Kata-kata Rab bererti memelihara, menguasa, pentadbir dan pengurus yang mengendalikan urusan keislahan dan kerja-kerja tarbiah dan pengasuhan terhadap seluruh makhluk-Nya.
Allah tidak mencipta alam kemudian membiarkannya begitu sahaja. Malah Dia memperelokkan, menjaga, memelihara dan mengasuhnya, kerana itu hubungan di antara Allah dan makhluk sentiasa berterusan di setiap waktu dan keadaan. 



Konsep Rububiyah Allah yang mutlak terhadap seluruh makhluk-Nya merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara Aqidah Tauhid yang jelas dan sempurna dengan aqidah yang kabur yang terjadi akibat daripada ketidak jelasan dan tidak ketegasan hakikat Tauhid ini. Ramai manusia yang mengakui Allah sebagai Tuhan Pencipta alam, tetapi di samping itu mereka mempercayai berbagai-bagai Tuhan yang lain yang menguasai kehidupan mereka. Kepercayaan yang seperti ini nampak jelas aneh dan lucu, tetapi itulah yang telah berlaku dan al-Quran telah menceritakan tentang perkataan sekumpulan kaum musyrikin yang menyembah bermacam-macam Tuhan itu:

“Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendampingkan kami lebih dekat kepada Allah.”

Al-Quran juga telah menceritakan tentang sekumpulan ahlil kitab :

“Mereka mengambil ulama-ulama dan paderi-paderi mereka selaku Tuhan-Tuhan yang lain daripada Allah.”

Aqidah-aqidah Jahiliyah yang di merata negeri semasa kedatangan Islam adalah penuh dengan kepercayaan kepada berbagai-bagai Tuhan yang disifatkan sebagai Tuhan-tuhan kecil di samping Tuhan yang agung mengikut sangkaan mereka.

Konsep Rububiyah yang mutlak yang meliputi seluruh alam yang terkandung di dalam surah ini merupakan persimpangan jalan yang memisahkan di antara akidah yang tersusun rapi dengan akidah yang kacau bilau. Konsep ini bertujuan supaya seluruh alam bertawajjuh kepada Allah yang tunggal yang berkuasa penuh dan menolak semua Tuhan yang lain, juga menghapuskan kebingungan bertawajjuh kepada bermacam-macam Tuhan itu, dan seterusnya supaya hati seluruh alam tenang dan tenteram kepada naungan Rububiyah Allah yang kekal dan pemeliharaan-Nya tidak pernah putus dan tidak kunjung hilang, bukanya seperti pendapat Aristotle yang dianggap sebagai setinggi fahaman falsafah – yang mengatakan bahawa Allah telah mencipta alam kemudian Ia tidak memperdulikannya dengan alasan kerana martabat Allah itu begitu tinggi dan tidak wajar untuk memikirkan sesuatu yang rendah daripada-Nya kerana Allah hanya memikirkan tentang zat-Nya sahaja. Aristotle yang mengeluarkan pendapat ini merupakan ahli falsafah yang paling besar dan akalnya merupakan akal manusia yang paling tinggi.



Islam datang ketika dunia dipenuhi dengan timbunan akidah–akidah, pemikiran-pemikiran, dongeng-dongeng, pendapat-pendapat falsafah, kepercayaan-kepercayaan yang karut marut, yang bercampur aduk di antara yang benar dengan yang batil, yang betul dengan palsu, agama dengan khurafat, falsafah dengan dongeng dan hati nurani manusia di waktu itu meraba-raba dalam gelap gelita dan dalam sangkaan-sangkaan tanpa berpijak kepada satu keyakinan.



Padang gurun yang tidak mempunyai sebarang kemantapan, sebarang keyakinan dan sebarang nur itulah yang (menjadikan latar belakang) yang melingkungi kefahaman dan pemikiran manusia terhadap-Nya, sifat-sifat-Nya, hubungan-Nya dengan para makhluk-Nya terutama hubungan di antara Allah dan manusia.



Oleh sebab itu hati nurani manusia tidak berupaya memperolehi satu pegangan yang kukuh mengenai persoalan alam ini, persoalan diri mereka sendiri dan persoalan sistem hidup mereka sebelum mereka memperolehi pegangan yang kukuh mengenai persoalan akidah mereka, persoalan kefahaman terhadap Tuhan mereka dan sifat-sifat-Nya, dan sebelum mereka mendapat satu keyakinan yang jelas dan lurus di tengah gumpalan awan mendung, di tengah-tengah padang gurun dan ditengah-tengah timbunan sampah sarap kepercayaan yang karut itu.



Seseorang itu tidak dapat memahami betapa perlunya kemantapan ini sehingga ia mengetahui betapa besarnya timbunan sampah kepercayaan yang karut itu, dan sehingga ia memeriksa padang gurun yang penuh dengan berbagai-bagai akidah, berbagai-bagai kefahaman, berbagai-bagai dongeng, berbagai-bagai pendapat, falsafah, berbagai-bagai tanggapan yang karut dan berbagai-bagai fikiran yang kacau yang mencemari dan mempengaruhi hati nurani manusia. Inilah keadaan yang didapati oleh Islam ketika ia datang. Apa yang kami sebut secara sepintas lalu mengenai kepercayaan-kepercayaan ini hanya satu bahagian kecil sahaja.(Dalam pentafsiran surah-surah al-Quran kelak akan dibentangkan berbagai-bagai bentuk kepercayaan itu yang diolahkan oleh al-Quran dengan pengolahan yang lengkap dan sempurna).



Oleh sebab itulah perhatian pertama Islam adalah lebih dahulu ditujukan kepada usaha membersihkan bidang akidah ketuhanan, menetapkan kefahaman yang meyakinkan hati nurani mengenai Allah dan sifat-sifat-Nya dan hubungan-Nya dengan para makhluk-Nya dengan tegas dan yakin.



Oleh sebab itulah kepercayaan Tauhid yang sempurna, tulin, bersih dan menyeluruh, tidak bercampur dengan sesuatu yang asing sama ada daripada dekat atau jauh, merupakan landasan kefahaman dan kepercayaan yang dibawa oleh Islam, dan Islam terus berusaha membersih kepercayaan ini di dalam hati nurani manusia dan memeriksa setiap fikiran yang kotor di sekitar hakikat Tauhid itu supaya ia bersih daripada segala kekeliruan dan kesamaran dan supaya tetap teguh tanpa dimasuki tanggapan yang karut baik daripada apa-apa bentuk sekalipun. Demikianlah Islam memberi kata pemutus yang begitu jelas dan terang mengenai sifat-sifat Allah terutama sifat-sifat yang ada hubungan dengan sifat Rububiyah yang mutlak. Kebanyakan timbunan sampah sarap kepercayaan yang wujud di padang gurun itu ialah sampah pendapat-pendapat falsafah dan akidah-akidah yang simpang siur, tanggapan yang kacau dan dongeng yang karut tentang persoalan sifat-sifat ketuhanan yang amat penting ini, iaitu persoalan yang mempunyai kesan yang amat besar di dalam hati nurani manusia dan budi pekerti mereka.

Sesiapa yang mengkaji usaha-usaha yang berterusan yang telah dilakukan oleh Islam untuk menegakkan kata pemutus mengenai zat Allah, sifat-sifat-Nya dan hubungan-Nya dengan para makhluk-Nya, iaitu usaha-usaha dalam bentuk nas-nas al-Quran yang begitu banyak tanpa mengkaji timbunan sampah sarap (kepercayaan karut) yang berat yang wujud di padang gurun yang amat luas, di mana sesatnya umat manusia itu, mungkin tidak dapat memahami sejauh itu. Ia memerlukan kepada penerangan al-Quran yang berulang-ulang itu dan kepada pemeriksaan yang begitu teliti di segala lorong dan pintu hati nurani. Tetapi dengan mengkaji timbunan sampah sarap itu dapatlah diketahui betapa perlu usaha-usaha yang berterusan itu dan betapa besarnya peranan yang dilakukan oleh Aqidah Islam untuk membebaskan hati nurani manusia daripada kepenatan meraba-raba dan terumbang ambing di antara berbagai-bagai Tuhan palsu, kepercayaan-kepercayaan dan dongeng-dongeng yang karut marut.

Keindahan, kesempurnaan dan keseimbangan Aqidah Islam dan kemudahan hakikat Tauhid yang agung yang di dokong oleh Islam itu tidak terserlah kepada hati dan akal manusia seterang yang terserlah kepadanya setelah ia lebih dahulu mengkaji dan menyelidiki timbunan sampah sarap Jahiliyah daripada berbagai-bagai akidah, kepercayaan, dongeng dan falsafah-falsafah terutama yang memperkatakan tentang hakikat ketuhanan dan hubungan-Nya dengan alam. Ketika inilah terserlah bahawa akidah Islam benar-benar merupakan rahmat yang hakiki kepada hati dan akal, iaitu satu rahmat yang mengandungi keindahan dan kemudahan, kejelasan dan keseimbangan, kehampiran, dan kemesraan dan hubungan harmoni secara langsung yang mendalam dengan fitrah manusia. 

No comments:

Post a Comment