Monday 1 October 2012

ISLAMIC DEMOCRACY


ISLAMIC DEMOCRACY

Firman Allah: al-Anaam 116 
Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.
 
ISLAMIC DEMOCRACY tidak wujud dalam Aqidah dan Pemikiran Islam. Ianya adalah satu konsep Jahiliyah dan tetap kekal sebagai Jahiliyah.

“Islamic Democracy” adalah satu konsep yang berbentuk “paradoxical” kerana Islam itu adalah satu pengingkaran dan penentangan yang aktif dan total terhadap demokrasi, begitu juga demokrasi itu adalah satu pengingkaran dan penentangan yang aktif dan total terhadap Islam. 

Demokrasi adalah Jahiliyah, ia tetap kekal sebagai Jahiliyah walaupun setelah digandingkan dengan nama atau istilah Islam; justeru “Islamic Democracy” tetap kekal sebagai satu konsep dan terminologi Jahiliyah. Konsep suara majoriti, pilihanraya, syura (consultation) dan ijma’ (consensus) dan konsep “separation of powers” dalam sesebuah kerajaan Islam bukanlah demokrasi, tetapi ianya adalah konsep-konsep Islam yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah. Begitu juga kewujudan konsep-konsep  seperti ini dalam demokrasi tidak bererti ianya adalah Islam atau serasi dengan Islam kerana demokrasi ini adalah satu agama yang didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia, iaitu agama yang syirik dan kufur kerana ia menafi, menolak, mengingkari dan menentang Uluhiyah dan Rububiyah Allah dan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ .

Friman Allah : az-Zumar 3 
Dan orang-orang yang mengambil pelindung yang lain daripada Allah (berkata) : Kami tidak menyembah mereka melainkan (hanya dengan tujuan ) supaya mereka mendampingkan kami lebih dekat kepada Allah. 

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Inilah perbuatan syirik yang dilakukan mereka. Oleh itu apakah sifat yang dapat diletakkan ke atas orang-orang yang tidak memohon pertolongan Allah untuk diri mereka dengan perantaraan hamba-hamba-Nya, tetapi mereka memohon pertolongan manusia untuk menolong agama Allah dengan menggunakan mana-mana isme dan sistem yang diciptakan oleh manusia ?

Islam tetap Islam. Sosialisme tetap sosialisme dan demokrasi tetap demokrasi. Islam adalah sistem hidup daripada ciptaan Allah. Islam tidak mempunyai gelaran dan sifat yang lain daripada gelaran dan sifat yang telah disifatkan Allah kepadanya sedangkan sosialisme dan demokrasi adalah daripada sistem-sistem ciptaan manusia dan daripada hasil-hasil pengalaman manusia. Oleh itu apabila mereka memilih sistem ini, maka hendaklah mereka memilih di atas asas ini. Pendakwah agama Islam tidak seharusnya tertarik kepada godaan fesyen-fesyen (atau aliran-aliran pemikiran) yang digemari nafsu manusia yang sentiasa berubah-ubah itu, dan serentak dengan itu ia merasa telah memberi perkhidmatan yang baik kepada agama Allah.

Tetapi kami ingin bertanya kepada orang-orang yang memandang rendah kepada agama mereka sendiri dan tidak menghormatinya dengan sewajarnya : jika kamu kemukakan Islam kepada orang ramai pada hari ini dengan nama sosialisme atau dengan nama demokrasi berdasarkan bahawa ianya adalah dua isme yang dianggap sebagai dua contoh aliran pemikiran yang diminati umum di zaman ini, pada satu zaman yang lampau sistem kapitalis merupakan satu pakaian yang digemari umum apabila mereka mengeluarkan sistem itu daripada sistem feudal, begitu juga sistem pemerintahan mutlak atau diktatur pernah dalam satu zaman tertentu menjadi satu sistem yang digemari, iaitu dizaman pengemblingan kebangsaan bagi wilayah-wilayah yang bertaburan (di Eropah) sebagai mana yang berlaku di negeri-negeri Jerman, Itali di zman Bismarck dan Mazzini, besok siapa tahu apakah pula satu sistem daripada sistem-sistem kemasyarakatan dan pemerintahan yang digemari umum, yang digubalkan oleh manusia untuk manusia? Dan apakah pula pendapat yang dikatakan mereka terhadap Islam untuk dikemukakan kepada orang ramai dalam bentuk fesyen yang digemari mereka?

Bimbingan al-Quran di dalam gelombang yang sedang dibicarakan ini, juga di dalam gelombang yang lain adalah merangkumi persoalan ini. Al-Quran mahu pendakwah meletakkan agama Allah di tempat yang tinggi. Para pendakwah tidak seharusnya tertarik kepada cadangan-cadangan dan pengesyoran-pengesyoran orang ramai. Mereka tidak seharusnya menghiaskan agama Allah dengan nama-nama yang lain daripada nama-Nya yang sebenar dan seterusnya mereka tidak seharusnya mengemukakan agama ini kepada orang ramai dengan menggunakan metodologi dan cara-cara yang lain daripada metodologi dan cara yang sebenarnya, kerana Allah Maha Kaya dan tidak memerlukan pendapat-pendapat manusia. Siapa yang tidak menyambut agama-Nya dengan semangat Ubudiyah kepada-Nya, dan dengan semangat mencabut dirinya daripada Ubudiyah kepada yang lain daripada-Nya, maka agama Allah tidak memerlukannya, begitu juga Allah swt tidak memerlukan sesiapa sama ada daripada para hamba-Nya yang taat atau para hamba-Nya yang menderhaka.

Di samping itu, jika agama Allah mempunyai asas-asasnya yang tulen sama ada daripada segi asas-asasnya mahupun daripada segi cirri-cirinya, maka ia juga mempunyai asas-asas yang tulen dari segi metodologi dan dari segi cara berbicara dengan fitrah manusia kerana yang menurunkan agama ini dengan asas-asas dan cirri-cirinya dengan metodologi dan cara harakatnya yang tersendiri ialah Allah yang menciptakan insan itu yang mengetahui segala bisikan hatinya.   

Firman Allah : al-An’aam 159 
Sesungguhnya orang-orang yang memecah belahkan agama mereka dan membentuk berbagai-bagai puak, maka engkau sedikitpun tidak bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Sesungguhnya urusan mereka terserah kepada Allah. Kemudian Dialah yang akan memberi tahu kepada mereka segala perbuatan yang dilakukan mereka.       
 
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Rasulullah saw tidak mempunyai sebarang kaitan dengan seluruh mereka dalam sesuatu apapun kerana agama yang dibawa beliau ialah agama Islam, dan syariatnya adalah syariat yang termaktub di dalam kitab Allah (al-Quran), dan sistem hidup yang dIperjuangkannya ialah sistem hidup yang tersendiri dan unik dengan ciri-ciri yang membezakannya daripada segala sistem hidup yang lain. Agama Islam yang dibawa beliau tidak mungkin bercampuraduk dengan kepercayaan-kepercayaan dan kefahaman-kefahaman yang lain, begitu juga undang-undang dan peraturannya tidak mungkin bercampuraduk dengan aliran-aliran undang-undang dan teori-teori perundangan yang lain, dan seterusnya tidak mengaku ada dua nama bagi satu undang-undang, satu peraturan dan sesuatu sistem iaitu nama Islam dan satu nama yang lain. Islam tetap Islam sahaja, syariat Islam tetap syariat Islam sahaja, sistem sosial, politik dan ekonomi Islam tetap sistem sosial, politik dan ekonomi Islam sahaja. Rasulullah saw tidak mempunyai apa-apa hubung kait dengan seluruh perpecahan mereka hingga ke akhir zaman.       

Tidak wujud konsep DEMOKRASI ISLAM, atau “ISLAMIC DEMOCRACY” atau “demokrasi ala Islam” dan konsep-konsep yang seumpamanya dalam Aqidah dan Pemikiran Islam. Begitu juga tidak wujudnya “Islamic Socialism”, “Islamic Capitalism”, “Islamic Nationalism”, “Islamic Secularism”, “Islamic Liberalism”, “Islamic Pragmatism”, “Islamic Monarchy”, “Islamic Theocracy”, dan segala “ism” dan pemikiran yang selain daripada Islam. Kesemua “ism” yang diperkatakan ini adalah kufur kerana kesemuanya itu adalah didasarkan kepada kedaulatan manusia dan pengabdian kepada kedaulatan manusia yang menolak sifat-sifat Uluhiyah dan Rububiyah milik Allah dan yang menyerahkan sifat-sifat yang Maha Agung itu kepada manusia yang merosak dan menafikan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ. Islam ini hanyalah Islam yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya sahaja yang sama sekali berkontradiksi dan terasing daripada isme-isme moden ciptaan manusia yang selain daripada Allah.

Agama Islam dalam bentuk yang direformasi dan dierti semulakan seperti yang dikembangkan oleh Abduh, Rashid Rida, Abdul Kadir al-Maghribi, Abdul Rahman al-Kawakibi, Hassan al-Banna, Yusuf al-Qardhawi, Hassan Tantawi dan seluruh ulama dan intelek Islam modenis kini yang mencipta fahaman-fahaman “Demokrasi Islam”, “Nasionalisme Islam”, “Sosialisme Islam”, “Monarki Islam”, “Kapitalisme Islam”, adalah bertentangan secara total dengan Aqidah dan Pemikiran Islam yang tulen daripada Allah seperti yang dianalisiskan di atas ini. Islam adalah satu agama yang diturunkan dengan sempurna – tidak perlu ditambah, diubah suai, dikaji semula, atau digandingkan dengan pemikiran- pemikiran ciptaan manusia. Sebarang tambahan, tempelan, ubah suaian dan kajian semula adalah satu BIDAAH di sisi Laaailaahaillallah. Islam adalah agama yang satu sahaja, manakala kufur dalam berbagai bentuk dan jenis itu adalah juga agama yang satu – sekularisme, nasionalisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme, monarki, militarisme, demokrasi adalah agama-agama kufur yang satu. Sekiranya kita masih berkecenderungan untuk menerima konsep-konsep Jahiliayah Moden seperti “Islamic Socialism”, “Islamic Democracy” dan lain-lainnya itu sebagai tidak bercanggah dengan Islam, bolehkah kita menerima konsep-konsep “Islamic Judaism”, “Islamic Christianity”, “Islamic Hinduism”, “Islamic Buddhism”, “Islamic Confucian”, “Islamic Shintoism” dan lain-lain “ism” yang berbentuk Jahiliayah Tradisonal itu sebagai bersesuaian serta tidak bercanggah dengan Islam sedangkan kesemuanya itu, “ism” moden dan “ism” tradisional, adalah agama-agama Jahiliyah yang satu dan sama?

Kekufuran segala “ism” ini, baik yang tradisional mahupun yang moden, adalah kerana sumbernya itu adalah pemikiran manusia yang selain daripada Allah, dan kesemuanya itu (ism-ism) menegakkan kedaulatan manusia serta mentaati dan mengabdikan kepada kedaulatan manusia yang bererti bahawa segala “ism” ini menafikan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ.

Sebilangan yang terbesar daripada kita berada dalam situasi yang terperangkap dalam kancah kekeliruan dan kesesatan yang besar akibat daripada angkara musuh-musuh Islam yang mencipta, menyebar, mempopular dan mengIslamkan fahaman-fahaman kufur seperti ‘demokrasi Islam’, ‘sosialisme Islam’, ‘monarki Islam’, ‘kapitalisme Islam’, ‘pragmatisme Islam’, ‘liberalisme Islam’, dan mereka menghabiskan masa mereka dalam mengembang dan memperjuangkannya untuk dianuti dan dipraktikkan di Malaysia sebagai solusi-solusi yang pragmatis dan “up-to-date” kepada segala permasalahan umat Islam kita, sedangkan kesemuanya ini hanyalah kesesatan yang amalannya itu boleh membawa kerosakan dan penindasan kepada umat manusia.

Seandainya demokrasi dan sosialisme ciptaan Barat itu adalah Islam kerana beberapa aspek daripadanya adalah selaras dan bersesuaian dengan Islam, mengapa perlunya dipanggil dengan nama-nama “’Islamic Democracy”, “Islamic Socialism”, mengapa tidak dipanggil dengan nama ISLAM sahaja? Agama Yahudi dan Kristian mempercayai wujudnya Tuhan Yang Maha Kuasa, mempercayai malaikat-malaikat, kitab-kitab yang diturunkan daripada langit, Rasul-rasul, hari kiamat dan qada’ dan qadar – mengapa pula tidak kita namakan agama-agama ini sebagai “Yahudi Islam” dan “Kristian Islam” kerana persamaan-persamaannya ini? Ini membuktikan bahawa “Islamic democracy” tidak wujud dalam Islam. Di dalam tafsir Fizilalil Quran dan “ The Isamic Concepts and its Characteristics”, Saiyyid Qutb menyifatkan idea-idea baru seperti Islamic Democracy dan Islamic Socialism sebagai timbunan sampah sarap atau “intellectual rubbish” yang sesat dan terkeluar daripada pemikiran Islam yang Maha Sempurna daripada Allah swt.

Massa umat Islam, termasuk para cendekiawan Islam dan ulama, tidak menganggap demokrasi sebagai AGAMA, tetapi mereka menganggap dan mengertikannya sebagai satu cara dan proses politik untuk melantik pemimpin dan mentadbirkan negara sahaja yang sama sekali tidak ada kaitan dengan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ serta Aqidah dan Agama; malah mereka mempercayai dan meyakini bahawa demokrasi yang memberi hak dan kebebasan berpolitik kepada setiap individu tanpa diskriminasi kelas dan kaum, yang memberi kebebasan beragama kepada semua agama, yang bersikap pro-Islam dengan memberi peluang-peluang kepada pemerintah untuk memaju dan membangunkan taraf sosio-ekonomi umat Islam, yang memberi peluang-peluang kepada umat Islam untuk mempertahan dan memperkukuhkan kuasa politik mereka dan yang melaksanakan program Islamisasi yang pesat dalam pentadbiran negara, adalah sistem politik yang moden dan terkini yang bersesuaian dengan Islam. Pemikiran seperti ini adalah kesesatan dan penyimpangan yang amat jauh daripada sebarang kebenaran daripada Allah.

Musuh-musuh Islam mengutarakan dalil-dalil seperti berikut bagi menyokong dakwaan mereka bahawa demokrasi ini adalah Islam :

Firman Allah: asy-Syura 38 
Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.
 
Firman Allah: ali-Imran 159 
Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, setelah kamu berazam, bertawakkallah kepada Allah.

"Perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam komunitiku, adalah tanda rahmat Allah."
As-Suyuti daripada al-Jami' as-Saghir

"Ikutilah golongan majoriti." 
Ibn Majah daripada Abdullah bin Umar

Adalah menjadi tanggung jawab kamu untuk berdiri bersama-sama komuniti yang berkesapaduan dan golongan yang majoriti (al-ammah)."
Ahmad bin Hanbal daripada Muadh bin Jabal                  

Dalil-dalil Nas dan Hadith di atas ini yang memperkatakan tentang keputusan majoriti yang dihasilkan daripada permesyuaratan dan perundingan di kalangan umat Islam itu, diakui dan didakwa sebagai menyokong dan memperkuatkan lagi teori dan kesimpulan yang dibuat oleh para ulama dan intelek Islam modenis kita bahawa demokrasi ini menepati ciri-ciri utama dalam teori politik Islam. Teori dan kesimpulan ini bukan sahaja merupakan satu salah tafsiran dan kekeliruan mengenai Nas-Nas dan Hadith-Hadith ini, malah terlebih ketaranya lagi, ianya merupakan kejahilan yang disengajakan mengenai Aqidah dan Pemikiran Islam itu sendiri.
Syura tetap syura, iaitu keputusan majoriti hasil daripada pemesyuaratan dan perundingan. 

Namun, dalam kehidupan kita hari ini, terdapat dua bentuk syura – Syura Islam dan syura kufur. Syura Islam adalah keputusan majoriti hasil daripada permesyuaratan dan perundingan untuk menjalankan dasar-dasar dan undang-undang yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Syura kufur adalah permesyuaratan, perundingan dan keputusan majoriti untuk membuat, melulus, menjalan dan menguat kuasakan dasar-dasar dan undang-undang yang zalim dan menindas kerana ia datang daripada manusia yang selain daripada Allah swt. Syura yang diperkatakan di dalam nas-nas dan hadith-hadith seperti di atas ini adalah keputusan majoriti yang dihasilkan melalui permesyuaratan dan perundingan yang membincangkan dasar-dasar dan undang-undang yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya sahaja.

Syura dalam persoalan untuk menjalankan sistem belanjawan negara di Malaysia yang didasarkan kepada sistem ekonomi kapitalis ciptaan manusia yang tidak datang daripada Allah dan Rasul-Nya, adalah syura untuk menguat kuasa, merealisasi dan menjalankan sistem kufur – syura seperti ini adalah syura kufur. Syura-syura dalam parlimen dan pentadbiran kerajaan Malaysia adalah syura-syura yang membincangkan isu-isu, dasar-dasar, program-program dan undang-undang ciptaan manusia yang selain daripada Allah swt. Syura-syura seperti ini berperanan untuk mencipta dan menghasilkan sistem kehidupan yang syirik dan kufur. Hal ini menonjolkan satu hakikat – kewujudan syura dalam pemerintahan sesuatu negara, tidak semestinya bererti bahawa negara itu adalah Islam.

Di dalam negara-negara umat Islam di Timur Tengah dan Afrika Utara, keseluruhan pemerintahannya tidak mempunyai konsep syura serta mereka langsung tidak mengamalkannya; dalam situasi yang berbeza, dalam pemerintahan negara-negara sekular Barat seperti Amerika (USA), Britain, Perancis dan keseluruhan negara-negara Barat yang lain, mereka mengamalkan konsep syura dengan begitu meluas sekali dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan mereka. Sama ada di kalangan negara-negara umat Islam mahupun di kalangan negara-negara Barat, kewujudan dan ketiadaan syura bukanlah menjadi faktor penentu yang mengkategorikan Islam atau kufurnya sesebuah negara itu. Faktor penentunya hanyalah kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ sahaja dan tidak yang selain daripadanya – iaitu, sama ada sesuatu negara itu adalah didasarkan kepada pengabdian yang total kepada kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ sahaja atau pengabdian kepada yang selain daripadanya (kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ ).

Prinsip yang mendasar dalam pemerintahan Islam ialah ketaatan kepada larangan dan suruhan Allah, iaitu kepada MANDAT SAMAWI, dan sekali-kali tidak kepada persetujuan (consent) dan bantahan (dissent) daripada rakyat yang berdasarkan kepada prinsip kehendak MAJORITi atau “will of the majority”!  Ijma’, syura, pilihanraya dan suara majoriti bukanlah konsep-konsep yang menentukan Islam atau kufurnya sesebuah kerajaan, tetapi Aqidah sesebuah kerajaan itu ditentukan oleh Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah dalam kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ; manakala ijma’, syura, pilihanraya dan suara majoriti itu merupakan pancaran, natijah atau hasil daripada Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah dalam kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ itu.

MAJORITI dan MINORITI bukan kriteria Islam. Kebenaran dan kebatilan tidak ditentukan oleh pendapat dan kehendak MAJORITI atau MINORITI, tetapi ianya ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sesuatu itu diterima sebagai benar atau batil, walaupun ia hanya disuarakan oleh MINORITI, hatta oleh seorang individu sahaja, apabila ianya datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Sebaliknya, sesuatu yang dianggap benar atau batil oleh MAJORITI yang tidak datang daripada Allah dan Rasul-Nya, tidak dapat diterima oleh Islam. MAJORITI atau MINORITI itu bukanlah kriteria yang boleh menentukan kebenaran atau kebatilan sesuatu permasalahan dalam Islam. MAJORITI bukanlah Islam dan MINORITI pula bukanlah kekufuran. Islam ialah apa sahaja yang diajarkan kepada kita oleh Allah dan Rasul-Nya, kufur ialah apa sahaja yang selain daripada Allah dan Rasul-Nya. Kebenaran Islam bukan ditentukan oleh faktor-faktor MAJORITI dan MINORITI.

Firman Allah: al-Anaam 116, 117 
Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya Tuhan itulah yang lebih mengetahui tentang orang yang sesat daripada jalannya dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat hidayat.
 
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
“Dahulu kebanyakan penghuni bumi - sama seperti penghuni bumi pada hari ini, adalah terdiri daripada pendukung-pendukung Jahiliyah. Mereka tidak meletakkkan Allah sebagai hakim dalam segala urusan kehidupan mereka dan tidak menjadikan syariat Allah yang terkandung dalam kitab sucinya sebagi undang-undang dan peraturan hidup mereka dan mereka tidak mengambil kefahaman, sistem berfikir dan sistem hidup mereka daripada hidayat Allah dan bimbingan-bimbingan-Nya. Oleh sebab itu kebanyakan manusia di zaman dahulu - sama seperti manusia di zaman sekarang - berada dalam Jahiliyah yang sesat, mereka tidak mampu menunjukkan sesuatu fikiran atau pendapat atau hukum yang berlandaskan kebenaran atau diambil daripada kebenaran, dan mereka tidak dapat memimpin orang-orang yang taat dan mengikut mereka kecuali menuju ke arah kesesatan sahaja. Kebanyakan manusia di zaman dahulu – sama seperti manusia di zaman sekarang – meninggalkan ilmu pengetahuan yang diyakinkan kebenarannya dan mengikut ilmu pengetahuan yang berlandaskan sangkaan dan agak-agakan sedangkan ilmu pengetahuan yang seperti ini tidak membawa manusia ke mana-mana kecuali kepada kesesatan sahaja. Demikianlah Allah mengingatkan Rasulu-Nya agar jangan tunduk dan mengikut golongan seperti ini supaya tidak sesat daipada jalan Allah. Beginilah maksud ayat ini secara umumnya walaupun persoalan yang berhubung kait dengan ayat ini yang wujud di masa itu ialah persoalan kaum musyrik yang mengharamkan sesetengah sembelihan dan menghalalkan sesetengah yang lain sebagai mana akan dijelaskan nanti”.

Kemudian dalam ayat yang berikut al-Quran menjelaskan bahawa satu-satunya pihak yang berwibawa menghukumkan orang ini mendapat hidayat dan orang sesat ialah Allah yang Maha Esa sahaja yang mengetahui hakikat para hamba-Nya dan kerana Dialah yang menetukan apakah yang dikatakan hidayat dan apakah yang dikatakan kesesatan.

Oleh sebab itulah perlu adanya satu kaedah untuk menentukan salah atau betulnya sesuatu Akidah, kefahaman-kafahaman, nilai-nilai dan ukuran-ukuran yang dipegang manusia, juga untuk menentukan salah betul aktiviti-aktiviti dan budaya-budaya kerja mereka. Pendeknya kita perlu kepada satu dasar untuk membolehkan kita untuk memutuskan benar  atau tidak benar dalam kesemua perkara yang menjadi rukun dan teras kehidupan ini supaya perkara-perkara asasi ini tidak diletakkan di bawah kehendak-kehendak istilah-istilah mereka yang tidak berasaskan ilmu pengetahuan yang diyakinkan kebenarannya. Di samping itu di sana perlu adanya satu pihak tertentu yang menentukan ukuran-ukuran bagi perkara-perkara yang asasi ini, dan daripada pihak inilah orang ramai menerima kaedah untuk mengukur para hamba Allah dan menimbangkan nilai-nilai.

Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa pihak-Nya sahaja yang berhak menentukan ukuran dan neraca pertimbangan ini dan Dia sahaja yang berhak menilai manusia mengikut ukuran ini dan menentukan siapa yang mendapat hidayat dan siapa yang sesat.

Masyarakat bukannya pihak yang berhak mengeluarkan keputusan-keputusan yang seumpama ini mengikut istilah-istilahnya yang sentiasa berubah-ubah, atau dengan ungkapan yang lain,yang berhak membuat keputusan-keputusan yang seperti itu bukanlah masyarakat yang berubah-ubah bentuknya dan asas-asas kebendaannya yang menyebabkan nilai-nilai yang dipegang nya dan keputusan-keputusan yang diambilnya turut berubah. Akibatnya lahir berbagai-bagai bentuk nilai-nilai dan akhlak seperti nilai-nilai masyarakat pertanian, nilai-nilai dan akhlak masyarakat perindustrian, nilai-nilai dan akhlak msyarakat kapitalis borjuis, nilai-nilai dan akhlak masyarakat sosialis atau komunis. Selain daripada itu ukuran-ukuran manusia dan ukuran-ukuran budaya kerja mereka juga turut berubah mengikut istilah-istilah masyarakat ini.
Islam tidak mengenal dasar ini , kerana Islam mempunyai nilai-nilai sendiri yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan nilai-nilai ini pula tetap tidak berubah walaupun bentuk masyarakat berubah-ubah. Mana-mana masyarakat yang melanggar nilai-nilai ini akan dinamakan mengikut istilah Islam sebagai masyarakat tidak Islamiyah atau masyarakat Jahiliyah atau masyarakat yang mempersekutukan Allah kerana masyarakat ini menyerah kepda pihak yang lain daripada Allah urusan mengaturkan nilai-nilai, ukuran-ukuran, kefahaman-kefahaman, akhlak, undang-undang dan peraturan yang bertentangan dengan apa yang telah diaturkan Allah swt. Inilah satu-satunya bentuk pembahagian masyarakat –masyarakat yang diketahui Islam, iaitu dibahagikan kepada masyarakat Islamiyah dan masyarakat tidak Islamiyah atau masyarakat Islamiyah dan masyarakat Jahiliyah tanpa melihat kepada rupa bentuk masyarakat-masyarakat itu.

Firman Allah: al-Mukminun 71 
Kalau sekiranya kebenaran mengikut kehendak mereka, nescaya binasalah langit dan bumi dan apa-apa di dalamnya.
 
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran):
Kebenaran itu hanya satu dan tetap teguh, sedangkan hawa nafsu itu banyak ragamnya dan berubah-ubah. Dengan lunas kebenaran yang satu inilah Allah mentadbirkan seluruh alam buana, di mana undang-undang alam tidak pernah menyeleweng kerana menurut suatu keinginan nafsu yang mendadak dan tidak pernah mungkir kerana menurut suatu kegemaran yang tiba-tiba. Andainya alam buana tunduk kepada keinginan-keinginan hawa nafsu dan kegemaran-kegemaran yang mendadak nescaya seluruh alam buana ini musnah, seluruh manusia juga musnah, seluruh neraca dan piawaian menjadi kacau bilau. Seluruhnya akan terumbang ambing di antara perasaan-perasaaan marah dan suka, kasih dan benci, gemar dan takut, cergas dan malas dan sebagainya daripada berbagai-bagai keinginan hawa nafsu, perasaan-perasaan, dan emosi-emosi yang berubah-ubah, sedangkan pembangunan alam fizikal dan matlamat tujuannya adalah memerlukan kepada kemantapan, keteguhan, kestabilan dan berjalan terus di atas satu tapak asa yang kukuh dan peraturan yang tetap yang tidak mungkir, tidak terumbang ambing dan tidak menyeleweng. Berdasarkan tapak asas yang agung dalam pembinaan dan pentadbiran alam buana inilah Islam menjadikan undang-undang hidup manusia sebagai sebahagian daripada undang-undang alam buana yang dikendalikan Allah yang mentadbir dan menyelaras segala bahagiannya, di mana makhluk manusia sebahagian daripada alam buana dan tunduk kepada undang-undangnya yang am. Oleh sebab itu adalah amat wajar  undang-undang hidup manusia ini diaturkan Allah yang mengaturkan undang-undang alam buana ini dan mentadbirkannya dengan keselarasan yang mengkagumkan. Dengan cara ini peraturan hidup manusia tidak tunduk kepada kehendak-kehendak keinginan nafsu mereka yang akan menimbulkan kerosakan dan kekacauan.
Malah kebenaran itu hanya mengikut kebenaran yang kulli dan mengikut tadbir Allah Yang Maha Pentadbir.

Umat yang menerima agama Islam inilah umat yang paling wajar mengikut kebenaran yang diperjuangkan Islam. Di samping agama Islam merupakan agama yang benar, ia juga adalah kemulian dan nama baik mereka, kerana tanpa agama Islam mereka tidak akan mempunyai nama yang harum di seluruh alam.

Umat Arab tidak pernah menempa nama harum dalam sejarah dunia sehinga mereka menerima agama Islam, kemudian nama mereka bergema di telinga generasi-genarasi umat manusia selama mereka berpegang teguh dengan agama itu, kemudian mereka tidak lagi dikira dalam barisan negara–negara yang disegani di dunia dan selain itu mereka tidak akan mempunyai nama harum lagi melainkan pada hari mereka pulang kepada namanya yang agung (Islam).

Selepas selingan ini, yang dikemukakan untuk dakwaan mereka yang bukan-bukan terhadap kebenaran yang datang kepada mereka dan untuk menentang tindakan mereka yang menolak dan menuduh kebenaran itu, maka al-Quran kembali mengecam sikap mereka dan memperdebatkan kekeliruan-kekeliruan yang mungkin menghalang mereka daripada menerima ajaran yang benar yang dibawa oleh Rasul mereka yang jujur dan amanah itu.

Saiyyid Qutb menghuraikan bahawa MAJORITI bukanlah Islam dan MINORITI pula bukanlah kekufuran. Islam adalah apa sahaja yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya, sedangkan kufur adalah apa sahaja yang datang daripada manusia yang selain daripada Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah : ar-Raad 19
Apakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu adalah benar sama dengan orang yang buta? Hanya orang yang berakal sahaja yang dapat mengambil pengajaran.

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :
Kehidupan manusia di bumi ini tidak akan menjadi baik melainkan dengan kepimpinan yang celik yang berjalan mengikut hidayat Allah Yang Maha Esa sahaja, iaitu kepimpinan yang mengatur dan menyusun seluruh kehidupan mengikut agama dan hidayat Allah. Kehidupan manusia tidak boleh menjadi sihat dengan kepimpinan-kepimpinan yang sesat dan buta, kepimpinan yang tidak mengetahui bahawa peraturan-peraturan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw itulah satu-satunya peraturan yang benar, kepimpinan yang mengikut sistem-sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Allah yang dipilih untuk para hamba-Nya yang soleh. Kehidupan manusia tidak boleh menjadi betul dengan sistem feodalis dan kapitalis, tidak juga boleh menjadi baik dengan sistem komunis dan sosialis ilmiyah. Semua sistem ini merupakan sistem-sistem orang-orang yang buta yang tidak sedar bahawa peraturan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw itulah satu-satunya peraturan yang benar, yang tidak seharusnya dielakkan daripadanya dan tidak seharusnya pula dibuat apa-apa pindaan kepadanya. Kehidupan manusia tidak akan menjadi baik dengan sistem teokrasi dan tidak pula dengan system diktatur atau sistem demokrasi. Semuanya sama sahaja, iaitu semuanya daripada sistem-sistem orang yang buta yang meletakkan diri sendiri sebagai Tuhan-tuhan yang lain daripada Allah. Semuanya cuba mengadakan sistem-sistem pemerintahan dan sistem hidup yang tersendiri. Semuanya membuat undang-undang dan peraturan-peraturan yang tidak diizsinkan Allah. Semuanya memperhambakan manusia kepada undang-undang yang diciptakan mereka dan semuanya membuat manusia taat kepada yang lain daripada Allah.    

Seluruh umat Islam di Malaysia kita kini adalah orang-orang buta yang dipimpin oleh orang-orang buta. Orang-orang yang tidak menerima peraturan dan undang-undang daripada Allah adalah disifatkan Allah sebagai orang-orang buta. Para pemimpin kita adalah orang-orang buta kerana mereka tidak menerima peraturan dan undang-undang Allah tetapi mereka membuat peraturan dan undang-undang mereka sendiri yang dikuat kuasakan ke atas kita. Inilah gejala si buta yang dipimpin oleh si buta yang mengeluarkan seluruh kita ini daripada beriman dengan kalimah  ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ dan yang memasukkan kita ke dalam kesyirikan dan kekufuran.

Kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ bererti kebenaran dan kesempurnaan itu hanyalah daripda Allah dan Rasul-Nya sahaja. Tidak ada kebenaran dan kesempurnaan dalam sistem pemerintahan demokrasi yang didasarkan kepada konsep “will of the majority” dan kepada slogan-slogan “kerajaan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”. Allah SWT memberi peringatan kepada kita bahawa sekiranya kita berpegang kepada pendapat MAJORITI yang tidak dirujukkan kepada Allah dan Rasul-Nya, kita akan dibawa kepada kesesatan. Islam menyangkal, mengingkari dan menolak konsep melegitimasi dan membenarkan sesuatu dasar, sistem dan hukum di atas konsep permesyuaratan, persetujuan dan kehendak suara MAJORITI yang tidak dirujukkan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah : al-Anaam 71 
Katakanlah : “Hidayat Allah adalah hidayat yang benar .”

Firman Allah : al-Anaam 73 
Firman-Nya itulah yang benar .

Firman Allah : Luqman 30 
Hal yang demikian kerana Allah itulah yang benar

Firman Allah : Yunus 32 
Tiada lagi selepas hidayat yang benar melainkan kesesatan

Firman Allah : al-Imran 19 
Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam .

Allah yang SATU bererti KEBENARAN yang SATU. Ayat-ayat ini menyokong dan memperkuatkan lagi prinsip kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ bahawa KEBENARAN hanyalah SATU sahaja yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Ideologi, pemikiran, sistem dan undang-undang ciptaan manusia yang selain daripada Allah adalah kebatilan, kekufuran dan Jahiliyah. Justeru Demokrasi dan “Islamic Democracy” ciptaan manusia tetap kekal sebagai kebatilan, kekufuran dan Jahiliyah. Ianya tetap Jahiliyah walaupun majoriti daripada umat Islam kita, kerajaan kita dan para ulama dan intelek Islam kita kesemua sepakat mengatakan bahawa ianya adalah Islam atau bersesuaian dengan Islam kerana Allah sendiri sudahpun menetapkannya sebagai Jahiliyah seperti mana yang ditetapkan Allah dalam segala konsep Uluhiyah dan Rububiyah Manusia.

No comments:

Post a Comment