Monday 3 September 2012

ERTI AGAMA - SIRI PERTAMA


SIRI PERTAMA



ERTI AGAMA


Firman Allah : al-Anbia 25
Dan tiada seorang Rasul pun yang Kami utuskan sebelummu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Aku sahaja. Oleh itu abdikanlah diri kamu kepadaku.

ERTI agama ialah PERATURAN dan UNDANG-UNDANG. Peraturan dan undang-undang Allah adalah AGAMA ALLAH, manakala peraturan dan undang-undang demokrasi adalah AGAMA DEMOKRASI yang selain daripada Allah. Tuhan yang disembah dalam agama Allah itu adalah Allah, manakala Tuhan-tuhan yang disembah dalam agama demokrasi itu adalah para pemerintah yang terdiri daripada manusia kerana mereka itu adalah orang-orang yang berhak dan berkuasa untuk membuat peraturan dan undang-undang untuk manusia, mereka berhak dan berkuasa untuk memerintah ke atas manusia, mereka berhak dan berkuasa untuk membuat peraturan dan undang-undang, dan mereka berhak dan berkuasa untuk ditaati dan dipatuhi manusia - al-Quran menamakan para pemerintah yang dilantik sebagai Tuhan-tuhan Manusia ini sebagai TAGHUT. Perdana Menteri dan para Menteri, ahli Parlimen dan Dun  serta Raja-Raja Melayu kita yang sedang berkuasa, berdaulat dan memerintah di dalam negara kita ini adalah TUHAN-TUHAN MANUSIA atau TAGHUT kerana mereka berhak dan berkuasa untuk membuat peraturan dan undang-undang untuk manusia, mereka berhak dan berkuasa untuk memerintah ke atas manusia, dan mereka berhak dan berkuasa untuk ditaati dan dipatuhi manusia. Agama yang sedang dianuti dan diamalkan oleh umat Islam kita di Malaysia kita ini adalah agama demokrasi, iaitu agama manusia yang syirik dan kufur kerana ianya adalah didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia.

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran – Nisa) :

Jika Uluhiyah dan Rububiyah itu dipercayai milik Allah Yang Maha Esa sahaja maka itulah sifat keagamaan daripada para hamba kepada Allah Yang Maha Esa, itulah Ubudiyah daripada manusia kepada Allah Yang Maha Esa sahaja, itulah ketaatan daripada manusia kepada Allah Yang Maha Esa sahaja dan itulah kepatuhan kepada sistem hidup Allah Yang Maha Esa sahaja tanpa sebarang sekutu. Allah sahaja yang berhak memilih sistem hidup yang tertentu bagi manusia. Dialah sahaja yang berhak mengaturkan undang-undang bagi mereka. Dialah sahaja yang berhak menetapkan neraca-neraca ukuran, nilai-nilai, peraturan-peraturan hidup dan sistem-sistem masyarakat bagi manusia. Tiada siapa yang lain daripada Allah samada berupa individu-individu atau kelompok-kelompok mempunyai sesuatu daripada hak yang seperti ini kecuali dengan berlandaskan syariat Allah, kerana hak ini merupakan kehendak yang wajib bagi Uluhiyah dan Rububiyah, juga merupakan gejalanya yang nyata dan yang menentukan cirri-cirinya yang khusus.

Adapun jika Uluhiyah dan Rububiyah itu dipercayai milik kepada mana-mana makhluk Allah samada secara berkongsi dengan Allah atau bersendirian tanpa Allah, maka itulah sifat keagamaan daripada hamba kepada yang lain daripada Allah, itulah Ubudiyah daripada manusia kepada yang lain daripada Allah, itulah ketaatan manusia kepada yang lain daripada Allah, iaitu ketaatan dalam bentuk mengikut dan mematuhi sistem-sistem, peraturan-peraturan, undang-undang, nilai-nilai dan neraca-neraca ukuran yang digariskan oleh manusia tanpa berlandaskan kitab Allah dan kuatkuasa-Nya malah berlandaskan sandaran-sandaran yang lain yang menjadi sumber kuasa yang diambil oleh mereka. Oleh sebab itu di sini tidak ada agama, tidak ada iman dan tidak Islam, malah yang ada ialah kesyirikan, kekafiran, kefasikan dan penderhakaan.

Inilah keseluruhan persoalan dan hakikatnya. Oleh sebab itu perlanggaran terhadap batas-batas hukum-hukum Allah adalah dikira sama sahaja samada melanggar satu undang-undang atau melanggar semua undang-undang, kerana persoalan itu satu sahaja, iaitu persoalan agama mengikut pengertian tadi dan seluruh undang-undang syariat itu adalah agama belaka. Yang dikira di sini ialah dasar yang dipegang manusia. Adakah dasar itu membulatkan Uluhiyah dan Rububiyah dengan segala cirri-cirinya kepada Allah Yang Maha Esa atau mempersekutukan-Nya dengan seseorang yang lain daripada makhluk-Nya walaupun mereka mendakwa menganut agama Islam dan walaupun lidah mereka mengaku sebagai orang-orang Islam.

Kriteria yang menentukan ISLAM atau KUFUR sesuatu agama adalah konsep-konsep ULUHIYAH dan RUBUBIYAH - Uluhiyah dan Rububiyah Allah adalah agama Allah manakala Uluhiyah dan Rububiyah Manusia adalah agama Manusia yang syirik dan kufur :

1.   Rububiyah Allah bererti Allah adalah Tuhan kita kerana Allahlah yang berkuasa untuk membuat dan meluluskan peraturan dan undang-undang untuk kita taati, Allahlah yang berhak ke atas politik, kerajaan dan pemerintahan, iaitu Allahlah yang berhak untuk mengabdikan kita kepada kekuasaan-Nya, dan sekali gus Rububiyah Allah bererti penafian, penolakan, pengingkaran dan penentangan yang terbuka, aktif dan total terhadap kuasa manusia untuk membuat peraturan dan undang-undang untuk ditaati oleh manusia, iaitu peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang selain daripada Allah;

2.     Uluhiyah Allah bererti Allah adalah Tuhan kita kerana segala peraturan dan undang-undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan kita ditaati dan dipatuhi oleh kita yang bererti kita menyembah Allah, dan sekali gus Uluhiyah Allah mempunyai pengertian penafian, penolakan, pengingkaran dan penentangan yang terbuka, aktif dan total terhadap ketaatan dan kepatuhan kepada Tuhan-tuhan manusia dan kepada peraturan dan undang-undang manusia.

Agama manusia adalah terdiri daripada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia  :

1.    Rububiyah Manusia bererti manusia adalah TUHAN kita kerana manusialah yang berkuasa untuk membuat dan meluluskan peraturan dan undang-undang untuk kita, iaitu manusialah yang berhak untuk mengabdikan kita kepada undang-undang dan kekuasaannya dan sekali gus ia menafi, menolak, mengingkari dan menentang dengan aktif dan total terhadap undang-undang dan kuasa Allah untuk membuat peraturan dan undang-undang untuk kita;

2.     Uluhiyah Manusia bererti manusia itu adalah TUHAN kita kerana kita mentaati dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang manusia itu dalam seluruh bidang kehidupan kita, dan sekali gus ia juga bererti kita menafi, menolak, mengingkari dan menentang dengan aktif dan total terhadap ketaatan dan kepatuhan kepada Allah dan peraturan dan undang-undang Allah.

Sifat-sifat Uluhiyah dan Rububiyah Allah inilah yang mewujudkan peraturan dan undang-undang Allah. Justeru kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ ini bererti tiada peraturan dan undang-udang yang lain melainkan peraturan dan undang-udang Allah. Sekali gus ini juga bererti kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ menafi, menolak, mengingkari dan menentang dengan terbuka, aktif dan total terhadap segala peraturan dan undang-undang manusia seperti peraturan dan undang-undang demokrasi ciptaan manusia yang selain daripada Allah yang kini sedang kita amalkan di dalam negara Malaysia kita ini. Di satu pihak yang lain, kita dapati kewujudan sifat-sifat Uluhiyah dan Rububiyah Manusia dalam system politik demokrasi atau system politik manusia yang mewujudkan peraturan dan undang-undang manusia, dan peraturan dan undang-undang manusia inilah ertinya AGAMA MANUSIA yang selain daripada agama Allah atau Taghut. Kita kini mengamal dan mempraktikkan peraturan dan undang-undang demokrasi serta kita meredhai dan menyetujuinya tanpa menyedari bahawa itu bererti kita telah mengimani, menganuti dan mengamalkan agama demokrasi, iaitu agama Taghut yang mengeluarkan kita daripada agama Allah. Ini adalah sesuatu yang amat lumrah dan berleluasa yang kini sedang merundung seluruh massa umat Islam kita di Malaysia kita ini. Namun seluruh massa umat Islam kita kini sedikitpun tidak menyedari mengenai nasib kita yang amat malang dan traumatis ini yang kini sedang menimpa ke atas kita.

Kesemua hujjah yang dipaparkan di sini menjuruskan kepada satu kefahaman - bahawa PERATURAN dan UNDANG-UNDANG itu adalah AGAMA :

1.   Agama Allah bererti kewujudan, pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan dan undang–undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan manusia ke atas manusia dan ketaatan dan kepatuhan seluruh manusia kepada peraturan dan undang-undang-Nya;

2.  Agama demokrasi bererti kewujudan, pelaksanaan dan penguatkuasaan seluruh peraturan dan undang–undang demokrasi ciptaan manusia ke atas manusia dalam seluruh bidang kehidupan manusia dan ketaatan dan kepatuhan seluruh manusia kepada peraturan dan undang-undang manusia itu.

Inilah pengertian “AGAMA” pada mula-mula ianya diturunkan kepada para nabi sekelian termasuk kepada junjungan besar kita Rasulullah saw, tetapi pengertian “AGAMA” kini seperti mana yang difahami dan dipraktikkan oleh majoriti daripada seluruh massa umat Islam di dunia kini sudah jauh terpesong daripada pengertiannya yang sebenar – agama Islam kini hanyalah terdiri daripada ucapan dan kepercayaan kepada dua kalimah syahadah dengan mempraktikkan solat dan puasa serta syiar-syiar ibadat yang lain sahaja tanpa ketaatan dan kepatuhan kepada PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG ALLAH dalam seluruh bidang kehidupan manusia. Pengertian “agama“ seperti ini adalah kesesatan yang lahir daripada MENTALITI JAHILIYAH. Tanpa PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG ALLAH,  “agama”  seperti ini tidak lagi boleh disifatkan sebagai agama Allah.

Firman Allah : Yusuf 76

Maka Yusuf lebih dahulu memeriksa karung-karung mereka sebelum memeriksa karung adiknya (Bunyamin), kemudian dia mengeluarkan piala penyukat itu daripada karung adiknya. Demikianlah Kami aturkan ta’bir kepada Yusuf. Sebenarnya dia tidak boleh menahan mengambil adiknya menurut undang-undang Raja, melainkan jika dikehendaki Allah. Kamilah yang mengangkatkan darjat-darjat mereka yang Kami kehendaki, dan di atas setiap orang yang berilmu itu ada yang lagi lebih tinggi ilmunya.
          Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran) :

Ayat ini menggariskan pengertian kata-kata “ad-Din” di tempat ini dengan garisan yang amat halus. Ia dimaksudkan dengan pengertian peraturan dan undang-undang Raja, kerana peraturan dan undang-undang Raja tidak menghukumkan pencuri dengan menahannya sebagai balasan terhadap pencurinya, kerana undang-undang menahan pencuri itu dari peraturan dan undang-undang agama Ya’kub, iaitu undang-undang yang telah dipersetujui oleh saudara-saudara Yusuf untuk menghukum mereka, lalu Yusuf mengenakan hukuman itu ke atas mereka apabila piala Raja itu didapati tersembunyi di dalam karung kenderaan adiknya. Al-Quran mengungkapkan peraturan dan undang-undang itu sebagai “ad-Din”(agama).
Pengertian al-Quran yang amat jelas ini telah terluput di dalam jahiliyah abad dua puluh dari kefahaman seluruh manusia sama ada dari mereka yang bernama kaum Muslimin atau dari pengganut-pengganut Jahiliyah. Mereka hanya membataskan pengertian “ad-Din” setakat kepercayaan-kepercayaan dan upacara-upacara ibadat sahaja. Mereka mengira setiap orang yang beriman kepada wahdaniyah Allah, beriman kepada Rasul, kepada malaikat, kitab-kitab suci, hari akhirat,.qada’ dan qadar, baik dan buruknya serta menunaikan ibadat-ibadat yang diwajibkan sebagai orang yang masuk ke dalam “agama Allah” walaupun bagaimana patuhnya mereka tunduk dan bagaimana tingginya mereka mengitirafkan kuasa Hakimiyah atau kuasa pemerintahan kepada yang lain dari Allah, iaitu dari Tuhan-tuhan palsu yang berbagai-bagai bentuk yang ada di bumi ini, sedangkan nas AL-Qur’an di sini menggariskan pengertian “agama Raja” sebagai peraturan dan undang-undang Raja, begitu juga pengertian “agama Allah” ialah sebagai peraturan dan undang-undang Allah. Kini pengertian ”agama Allah” telah menjadi kurus dan susut sehingga ia tidak lagi bererti melainkan sebagai kepercayaan-kepercayaan dan upacarara-upacara ibadat sahaja di sisi khalayak ramai pengganut-pengganut budaya jahiliyah, tetapi ia tidak pernah diertikan begitu sejak agama ini datang (ke dunia ini) mulai Adam, Nuh hingga kepada Muhammad salawatullahi wasalamu-Hu ‘alayhim ajma’in.
 Ia selama-lamanya diertikan sebagai keta’atan dan kepatuhan kepada Allah yang Maha Esa sahaja dengan menjunjung peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Allah dan menolak peraturan dan undang-undang yang diatur oleh orang lain dari Allah, serta menentukan sifat Uluhiyah kepada Allah S.W.T.sahaja baik di bumi mahupun di langit, juga menentukan sifat Uluhiyah kepada Allah S.W.T sahaja yang mengendalikan seluruh manusia, iaitu kuasa Hakimiyah-Nya, kuasa undang-undang dan peraturan-Nya dan kuasa pemerintahannya.Yang selama-lamanya menjadi persimpangan jalan yang memisahkan di antara orang yang berada di dalam agama Allah dengan orang yang berada dalam ‘agama Raja’ ialah golongan yang pertama mematuhi dan mentaati peraturan Allah dan undang-undang-Nya sahaja, sedanngkan golongan yang satu lagi mematuhi dan mentaati peraturan dan undang-undang Raja atau mengambil sikap mempersekutukan Allah, iaitu mereka mematuhi dan mentaati Allah dalam urusan itiqad dan upacara-upacara ibadat dan mematuhi dan mentaati yang lain dari Allah dalam urusan peraturan dan undang-undang.
Ini adalah dari pengertian agama yang diketahui secara pasti atau dari pengertian Aqidah Islamiyah yang amat jelas. Setengah orang yang mahu bersikap lembut terhadap orang ramai (Islam) pada hari ini cuba mencari alasan keuzuran yang memaafkan mereka iaitu mereka tidak mengetahui pengertian istilah “agama Allah” dan justeru itu mereka tidak mendesak dan berusaha supaya berhakimkan syariat Allah sahaja dengan sifatnya sebagai pengertian “agama”, dan kejahilan mereka terhadap pengertian “agama” itulah yang memaafkan mereka daripada disifatkan sebagai pengikut Jahiliyah yang mempersekutukan Allah.
Saya tidak fikir bagai mana kejahilan mereka dari awal-awal lagi terhadap hakikat agama ini boleh memasukkan mereka dalam lingkungan “agama” ini.

Sebenarnya kepercayaan terhadap sesuatu itu merupakan hasil daripada pengenalannya. Oleh itu apabila mereka tidak mengetahui hakikat sesuatu Aqidah, maka bagai mana mereka boleh mempercayai? Bagai mana mereka dapat mengira diri mereka sebagai pendukung Aqidah itu sedangkan mereka daripada awal-awal lagi tidak mengetahui pengertiannya? Kejahilan yang seperti ini mungkin dapat melepaskan mereka daripada hisab akhirat atau diringankan azab mereka di sana, sedangkan tanggungjawab dan dosa mereka akan dibebankan ke atas bahu pihak yang tidak mengajar kepada mereka hakikat yang sebenarnya iaitu ulama-ulama, tetapi ini adalah urusan perkara ghaib yang terserah kepada Allah sahaja. Sebaliknya perbahasan mengenai balasan akhirat terhadap pengikut-pengikut Jahiliyah umumnya itu tidaklah mempunyai faedah yang besar, perbahasan itu tidak perlu kepada kita manusia yang diseru kepada Islam di bumi ini.
Yang perlu kepada kita ialah menjelaskan hakikat agama yang dihayati orang ramai (Islam ) pada hari ini dan secara pasti ia bukannya agama Allah kerana agama itu ialah peraturan dan undang-undangnya yang berlandaskan nas-nas al-Quran yang jelas. Oleh itu sesiapa yang berada dibawah naungan peraturan dan syariat Allah bererti dia berada di dalam agama Allah, dan barang siapa berada di dalam peraturan dan undang-undang Raja, maka dia berada di dalam agama Raja dan hakikat ini tidak boleh dipertikaikan lagi .
Orang-orang yang jahil terhadap pengertian agama tidak mungkin percaya kepada agama ini, kerana kejahilan di sini melibatkan pokok hakikat asasi agama, dan orang yang jahil terhadap hakikat asasi itu tidak mungkin – dari segi akal dan realiti – dianggap sebagai orang yang percaya kepadanya, kerana kepercayaan terhadap sesuatu itu merupakan hasil daripada kefahaman dan pengenalan. Ini merupakan sesuatu yang badihi atau cukup jelas sekali . Adalah lebih baik bagi kita – dari berusaha mempertahankan orang ramai yang berada di dalam lingkungan agama yang bukan agama Allah itu dan mencari alasan keuzuran yang memaafkan mereka serta cuba menjadi lebih kasihan belas terhadap mereka daripada Allah yang telah menjelaskan pengertian agama-Nya dan batas-batasnya..............lebih baik bagi kita daripada semua usaha ini ialah kita harus mula berusaha memperkenalkan kepada orang ramai Islam hakikat pengertian agama Allah supaya mereka masuk ke dalam lingkungannya atau menolaknya.
Langkah ini adalah lebih baik bagi kita dan bagi orang ramai Islam, kerana langkah ini dapat melepaskan kita daripada tanggungjawab terhadap kesesatan orang-orang yang jahil terhadap agama ini, yang mana akibat daripada kejahilan itu menyebabkan mereka sebenarnya tidak menganut agama itu. Langkah ini juga lebih baik bagi orang ramai Islam kerana ia membawa mereka berdepan dengan hakikat kedudukan mereka yang sebenarnya, iaitu mereka berada di dalam agama Raja bukannya di dalam agama Allah. Ini boleh menimbulkan satu kesedaran yang kuat yang boleh mengeluarkan mereka daripada Jahiliyah kepada Islam dan daripada agama Raja kepada agama Allah. 
Huraian Saiyyid Qutb mengenai ayat di atas ini merumuskan bahawa peraturan dan undang-undang Allah adalah AGAMA ALLAH. Agama Raja, iaitu ungkapan “Din al-Maliki” di dalam ayat di atas ini adalah diertikan sebagai PERATURAN dan UNDANG-UNDANG RAJA. Di sini al-Quran menetapkan konsep yang utama dalam Aqidah dan Pemikiran Islam - bahawa PERATURAN dan UNDANG-UNDANG adalah AGAMA. Mengikut definisi dan pengertian AGAMA seperti mana yang dinyatakan di dalam ayat di atas ini, PERATURAN dan UNDANG-UNDANG ALLAH adalah AGAMA ALLAH, manakala PERATURAN dan UNDANG-UNDANG DEMOKRASI adalah AGAMA DEMOKRASI.

Firman Allah: an-Nisa 60

Tidakkah engkau perhatikan bahawa orang-orang yang mendakwakan bahawa mereka beriman kepada yang diturunkan kepada engkau dan yang diturunkan sebelum daripada engkau, mereka hendak meminta hukum kepada taghut, sedangkan mereka disuruh supaya kufurkan terhadap taghut. Syaitan menghendaki supaya ia menyesatkan mereka dengan kesesatan yang jauh.

Sayyid Qutb (Fizilalil Quran- an-Nisa 60) :

Yakni tidakkah engkau melihat sesuatu yang sungguh menghairankan, iaitu ada sekumpulan, manusia yang mendakwa beriman, tetapi pada waktu yang sama merka telah meruntuhkan dakwaan itu. Mereka mendakwa beriman kepada wahyu yang diturunkan kepadamu dan wahyu yang telah diturunkan sebelum daripadamu. Kemudian mereka tidak mahu berhakimkan kepada wahyu yang diturunkan kepadamu dan kepada wahyu yang diturunkan  sebelum daripadamu. Malah mereka mahu berhakimkan kepada sesuatu yang lain, kepada peraturan yang lain dan hukum-hukum yang lain. Mereka mahu berhakimkan kepada peraturan Taghut yang tidak mengambil daripada wahyu yang diturunkan kepadamu dan daripada wahyu yang diturunkan sebelummu, iaitu peraturan yang tidak dikawal dan ditimbang dengan neraca wahyu yang diturunkan kepadamu dan wahyu yang diturunkan sebelummu. Oleh sebab itulah peraturan ini dikatakan Taghut yang zalim dan keterlaluan kerana ia mendakwa memiliki salah satu daripada ciri-ciri Uluhiyah dan kerana ia tidak tunduk kepada neraca Uluhiyah yang betul. Mereka berbuat begitu bukan kerana jahil dan bukan pula berdasarkan sangkaan-sangkaan malah mereka memang mengetahuinya dengan sepenuhnya dan dengan pengetahuan yang cukup bahawa perbuatan berhakimkan Taghut adalah satu perbuatan yang diharamkan Allah.

meskipun mereka diperintah supaya mengingkarinya”.

Oleh kerana itu perbuatan mereka dalam perkara ini bukan kerana kejahilan dan tidak pula kerana sangkaan malah mereka lakukannya dengan sengaja, dengan qasad dan niat. Oleh sebab itu dakwaan mereka yang mengaku beriman kepada wahyu yang diturunkan kepadamu dan kepada wahyu yang diturunkan sebelummu adalah satu dakwaan yang tidak betul dan jujur, malah yang sebenarnya syaitan mahu membawa mereka ke dalam kesesatan yang tidak ada harapan lagi untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Firman Allah: al-Maidah 44Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah mereka itu adalah orang-orang yang kafir.

Saiyyid Qutb (Fizlalil Quran) :

Dengan kenyataan yang sedemikian tegas dan pasti dan penjelasan yang sedemikian umum dan menyeluruh yang terkandung dalam kata-kata “Barang Siapa’’ dan jawapannya, maka keumuman ini adalah melangkaui batas-batas keadaan, zaman dan tempat dan membentuk satu hukum yang menyeluruh yang mencakup setiap mereka yang tidak menghukum dengan peraturan yang telah diturunkan Allah SWT dalam mana-mana kaum sekalipun.
Sebabnya ialah seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, iaitu orang–orang yang tidak mahu menghukum dengan syari’at yang telah diturunkan Allah SWT adalah bererti menolak Uluhiyah Allah SWT, kerana di antara ciri-ciri dan kehendak-kehendak Uluhiyah itu ialah ciri al-Hakimiah iaitu ciri yang memiliki kuasa menetapkan undang-undang dan peraturan. Oleh sebab itu sesiapa yang menghukum dengan undang-undang dan peraturan yang lain daripada syari’at yang telah diturunkan Allah SWT , maka bererti ia menolak Uluhiyah Allah SWT dan ciri-cirinya dari satu segi dan mendakwa dirinya mempunyal hak Uluhiyah dan ciri-cirinya dari satu segi yang lain. Dan apakah lagi yang membawa kepada kekufuran jika tidak kedua-dua bentuk penolakan ini? Apakah nilai pengakuan beriman atau memeluk Islam dengan lisan sahaja, sedangkan amalan – iaitu pengungkapan yang lebih kuat dari percakapan – melafazkan kekufuran yang lebih jelas dari kekufuran.

Huraian-huraian Saiyyid Qutb mengenai ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa AGAMA ALLAH adalah KEPERCAYAAN, PERATURAN dan UNDANG-UNDANG daripada ALLAH, dan agama tanpa peraturan dan undang-undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan yang meliputi bidang-bidang solat, puasa, zakat, haji dan dalam politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa, agama itu bukanlah agama daripada Allah. Setakat mengucap dua kalimah syahadah dan mempercayai Rukun Iman dan Rukun Islam tanpa mengambil peraturan dan undang-undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan manusia bukanlah bererti menganuti dan beriman dengan agama Allah. Beriman kepada Allah bererti mengambil peraturan dan undang-undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan yang meliputi solat dan puasa serta politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa dengan sekali gus menafi, menolak, mengingkari dan menentang dengan terbuka, aktif dan total terhadap peraturan dan undang-undang yang selain daripada Allah seperti peraturan dan undang-undang demokrasi.

Kerosakan AQIDAH di kalangan massa umat Islam kita kini telah sampai ke peringkat kerosakan yang total dan amat ketara sehingga kita langsung tidak pernah menyedari bahawa kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ bererti peraturan dan undang-undang itu adalah hak Allah, dan kita juga tidak menyedari bahawa PERATURAN dan UNDANG-UDANG ALLAH inilah juga ertinya AGAMA  ALLAH. Kita tidak nampak hubung kait di antara kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ dengan peraturan dan undang-undang, malah kita berpegang kepada pandangan kita bahawa pengertian kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ sejak daripada asal agama ini diturunkan lagi sememangnya tidak pernah ada apa-apa kaitan dengan peraturan dan undang. Inilah gejala kerosakan Aqidah Islam yang wujud dan berlaku di kalangan seluruh umat Islam kita yang total yang sedang menghantui seluruh massa umat Islam kita baik di Malaysia mahupun di dunia kita ini!

Apakah ertinya agama Islam dan siapakah seseorang Muslim? Islam adalah KETAATAN dan KEPATUHAN kepada agama Allah, iaitu khususnya kepada peraturan dan undang-undang Allah, manakala seseorang Muslim itu adalah seseorang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan yang berpegang teguh kepadanya yang diikuti dengan ketekunannya dalam MENTAATI dan MEMATUHI segala peraturan dan undang-undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan manusia yang meliputi solat, puasa dan haji serta seluruh syiar ibadat yang lain dan seluruh peraturan dan undang-undang Allah dalam bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa.

Firman Allah : al-Imran 18, 83, 85

Allah sendiri menyaksikan tiada Tuhan melainkan hanya dia dan para malaikat dan orang-orang yang berilmu juga (turut menyaksikan) Ia menegakkan keadilan. Tiada Tuhan melainkan Dia yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.

Patutkah sesudah (menerima dan mengakui perjanjian) itu, mereka mencari agama lain daripada Allah ? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekelian makhluk yang ada di langit dan di bumi  , sama ada dengan suka ataupun terpaksa, dan kepada-Nya mereka dikembalikan.

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam , maka tidak akan diterima daripadanya , dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran – al-Imran):

“Erti Islam ialah ketaatan berhakimkan kepada kitab Allah, mematuhi dan mengikutnya. Sesiapa yang tidak berbuat demikian, maka tidak ada agama baginya dan dia bukannya seorang Muslim walau pun dia mendakwa beragama Islam dan berpegang dengan agama Allah. Kerana agama Allah digaris, dijelas dan ditafsir oleh Allah s.w.t sendiri dan bukannya tunduk kepada pentafsiran dan penggarisan hawa nafsu manusia yang masing-masing menggaris dan mentafsirkan mengikut sesuka hati mereka.

Islam bukannya semata-mata pengakuan, bukannya semata-mata panji-panji, bukannya semata-mata kata-kata yang diucapkan lisan, malah bukannya kepercayaan yang dikandung oleh hati dengan diam dan tenang, bukannya upacara-upacara ibadat perseorangan yang ditunaikan oleh individu-individu dalam solat, haji dan puasa .... tidak, ini bukannya Islam yang menjadi satu-satunya agama yang diredhai Allah dari para hambaNya, malah Islam ialah penyerahan diri, ketaatan dan ikutan yang patuh. Islam ialah berhakimkan kitab Allah dalam segala urusan hamba.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran – al-Imran) :
Jelaslah bahawa keislaman sekelian makhluk alam ialah keislaman yang tunduk kepada perintah, mengikut peraturan dan mematuhi undang-undang. Di sini ternyatalah betapa beratnya Allah swt memberi perhatian-Nya dalam menjelaskan makna Islam dan hakikatnya dalam setiap kesempatan yang sesuai supaya jangan termasuk dalam fikiran seseorangpun bahawa Islam itu merupakan kalimah syahadah yang diucapkan oleh lisan atau merupakan tasdik yang hanya mantap di hati tanpa diikuti oleh kesan-kesannya yang amali, iaitu mengikut undang-undang dan peraturan Allah dan merealisasikan undang-undang dan peraturan itu di dalam realiti hidup mereka.
Saiyyid Qutb menghuraikan bahawa Islam adalah KETAATAN dan KEPATUHAN kepada peraturan dan undang-undang Allah dan seseorang Muslim itu adalah seseorang yang MENTAATI dan MEMATUHI seluruh peraturan dan undang-undang Allah. Umat Islam kita yang tidak mentaati dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang Allah, sebaliknya mereka mentaati dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang demokrasi ciptaan manusia serta mereka menyetujui dan meredhainya, mereka ini bukanlah orang-orang Islam di sisi kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ. Malah mereka ini adalah orang-orang yang mencari agama yang selain daripada Allah, mereka ini adalah orang-orang yang tidak berada di dalam agama Allah dan mereka sebenarnya sedang berada di dalam agama demokrasi yang syirik dan kufur – mereka sedang mengimani, menganuti dan mengamalkan agama demokrasi yang syirik dan kufur yang mengeluarkan mereka daripada agama Allah.

Firman Allah: al-Nisa 59
Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan orang-orang yang berkuasa di antara kamu.

Sayyid Qutb (Fizilalil Quran- an-Nisa) :

Di dalam ayat yang pendek ini Allah swt menjelaskan syarat keimanan dan takrif keIslaman dalam masa ia menjelaskan dasar sistem asasi kelompok Muslimin, dasar kehakiman dan sumber kekuasaan dan semuanya itu adalah bermula dan berakhir pada titik dasar menerima segala undang-undang dan peraturan daripada Allah yang Maha Esa sahaja dan merujukkan kepada sunnah segala perkara yang tidak ada nas, iaitu perkara-perkara perincian kehidupan yang timbul dalam kehidupan manusia di sepanjang generasi yang silih berganti dan mengakibatkan pertentangan fikiran-fikiran, pendapat-pendapat dan pemahaman-pemahaman supaya di sana ada satu neraca yang tetap yang dapat dirujukkan fikiran-fikiran, pendapat-pendapat dan pemahaman-pemahaman yang bercanggah itu.
Hak hakimiyah, iaitu hak dan kuasa memerintah dan menetapkan undang-undang dan peraturan-peraturan dalam urusan kehidupan manusia sama ada kecil atau besar adalah dimiliki oleh Allah swt sahaja dan Allah telah mengaturkan syariat-Nya dan memuatkan di dalam kitab suci-Nya al-Quran dan Dia telah mengutuskan seseorang Rasul membawa syariat itu supaya beliau menjelaskannya kepada umat manusia. Oleh sebab itu apa yang dijelaskan oleh beliau bukanlah hasil daripada pemikiran hawa nafsunya kerana itu sunnah Rasulullah saw merupakan sebahagian daripada syariat Allah.
Allah swt itu wajib ditaati dan di antara ciri-ciri Uluhiyah ialah hak dan kuasa mengaturkan syariat. Oleh sebab itu syariat Allah wajib diamalkan dan dilaksanakan dan adalah menjadi kewajipan orang-orang beriman mentaati kepada Allah – pertama-tamanya – dan mentaati kepada Rasul-Nya kerana sifatnya sebagai utusan daripada Allah. Oleh itu jelaslah bahawa ketaatan kepada Rasul itu adalah tergolong daripada ketaatan kepada Allah yang telah mengutus beliau membawa syariat-Nya supaya beliau menjelaskannya kepada umat manusia di dalam sunnahnya.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran – al-Ahzab) : 
Malah Islam ialah berserah kepada kehendak dan perencanaan Allah, dan kesediaan daripada awal-awal lagi untuk mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya dan kesediaan untuk mengikuti sistem hidup yang digaris Allah tanpa menoleh kepada bimbingan dan arah tujuan yang lain dan tanpa bergantung kepada yang lain daripada-Nya. Islam ialah kesedaran daripada awal-awal bahawa manusia di bumi ini harus tunduk kepada undang-undang Ilahi yang tunggal yang mengendali mereka dan mengendali bumi, juga mengendali planet-planet dan bintang-bintang. Undang-undang itulah yang mentadbirkan seluruh urusan alam lahir dan batin, yang nampak dan yang tidak nampak, yang dapat ditanggap akal manusia dan yang tidak dapat ditanggap daya kefahamannya. Islam ialah keyakinan bahawa manusia tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam agama ini selain daripada menjunjung perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya, dan selain daripada menggunakan sarana-sarana yang dikurniakan Allah kepada mereka dan menunggu natijah-natijah yang telah ditetapkan Allah. Inilah asas yang menjadi landasan undang-undang, peraturan-peraturan, adat resam, adab susila dan akhlak yang merupakan sebagai terjemahan secara amali daripada kehendak-kehendak Aqidah yang tesemat di hati dan daripada kesan-kesan yang nyata daripada semangat penyerahan diri kepada Allah dan daripada kepatuhan mengikut sistem hidup Ilahi dalam kehidupan. Islam ialah Aqidah yang melahirkan syariat iaitu satu syariat yang menegak satu sistem hidup. Ketiga-tiga unsur itu berkumpul sepadu dan saling betindak. Itulah Islam.          

Ayat-ayat al-Quran dan hurai-huraiannya di atas ini oleh Saiyyid Qutb merumuskan bahawa AGAMA adalah PERATURAN dan UNDANG-UNDANG, manakala ISLAM adalah KETAATAN dan KEPATUHAN kepada PERATURAN dan UNDANG-UNDANG ALLAH. Kerajaan demokrasi Malaysia dan seluruh umat Islam di Malaysia kita ini yang kesemuanya tidak menjalankan segala peraturan dan undang-undang Allah serta kita tidak MENTAATI dan MEMATUHINYA, malah kita kini sedang MENJALAN dan MENGUAT KUASAKAN serta kita sedang MENTAATI dan MEMATUHI segala peraturan dan undang demokrasi ciptaan manusia yang selain daripada Allah, mempunyai pengertian bahawa kerajaan Malaysia kita ini bukanlah kerajaan Islam dan seluruh umat Islam kita ini juga bukanlah orang-orang yang menganuti dan mengamalkan agama Islam, tetapi kita kini adalah terdiri daripada kerajaan dan orang-orang yang menganuti dan mengamalkan agama demokrasi yang syirik dan kufur yang mengeluarkan kerajaan Malaysia kita ini dan juga seluruh umat Islam kita daripada agama Allah.

Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran an-Nisa) :

Agama ialah peraturan yang telah ditetapkan Allah bagi kehidupan manusia seluruhnya. Agama ialah sistem yang mengatur seluruh kegiatan hidup dan hanya Allah sahaja yang berhak mengadakan peraturan dan sistem ini tanpa disekutui sesiapapun. Agama ialah kepatuhan dan ketaatan kepada kepimpinan Rabbani, iaitu satu-satunya kepimpinan yang berhak dipatuhi dan ditaati, dan satu-satunya sumber untuk menerima perintah dan arahan dan satu-satunya kepimpinan untuk diserahkan diri. Oleh itu masyarakat Islam ialah masyarakat yang mempunyai kepimpinan Rabbani yang dilambangkan oleh kepimpinan Rasulullah saw dan segala peraturan dan undang-undang yang telah disampaikan oleh beliau dan kekal selepas kewafatannya. Kepatuhan masyarakat Islam kepada kepimpinan Rabbani inilah yang memberikan sifat Islam kepadanya dan melayakkannya untuk digelarkan “Masyarakat Islam“. Tanpa kepatuhan yang mutlak ini ia tidak mungkin menjadi masyarakat Islam yang sebenar, kerana syarat kepatuhan itu ialah kesanggupan berhakimkan kepada Allah dan Rasul, memulangkan segala urusan kepada Allah dan redha terhadap keputusan dan pelaksanaan Rasul-Nya dan menerima dengan penyerahan yang bulat kepada-Nya.



Untuk menjelaskan hakikat dan dasar utama ini ayat-ayat surah ini telah mengemukakan penerangan-penerangan yang amat tegas dan tidak boleh dipertikai, dikeliru, disadur dan dipalsukan lagi, kerana penerangan-penerangan itu begitu kuat, jelas dan tegas dan sama sekali tidak memberi ruang untuk menerima sebarang pertikaian.

Saiyyid Qutb menghuraikan bahawa masyarakat Islam adalah masyarakat yang MENTAATI dan MEMATUHI segala peraturan dan undang-undang Allah serta masyarakat yang mentaati dan mematuhi kepimpinan Rabbani.

Yang wujud di dalam negara kita dan yang sedang ditaati serta dipatuhi oleh manusia di dalam negara kita ini hanyalah PERATURAN dan UNDANG-UNDANG DEMOKRASI ciptaan manusia yang selain daripada Allah. Ini bererti bahawa Tuhan-tuhan yang wujud dan yang DITAATI dan DIPATUHI oleh manusia hanyalah TUHAN-TUHAN MANUSIA, kita kini sedang menyembah manusia dan kita tidak menyembah Allah, dan justeru agama yang dianuti dan diimani oleh seluruh umat manusia – Islam dan bukan Islam - di Malaysia kita ini hanyalah AGAMA DEMOKRASI. Seluruh umat Islam kita kini menganuti dua agama dalam masa yang sama, iaitu kita menganuti agama Allah bersekali dengan menganuti agama demokrasi kerana kita menjalankan peraturan dan undang-undang demokrasi, kita mentaati dan mematuhinya dan kita menyetujui dan meredhainya – kesemuanya ini mengeluarkan kita daripada agama Allah. Inilah kesimpulan yang sesuai dan tepat mengenai kedudukan AQIDAH seluruh umat manusia di Malaysia kita ini mengikut pengertian ayat-ayat al-Quran yang sedang dibicarakan di sini.

Fahaman dan sistem kehidupan daripada Allah adalah AGAMA ALLAH kerana ianya adalah terdiri daripada Aqidah, Syariat dan Akhlak yang diturunkan Allah kepada kita :

1.     AQIDAH ISLAM adalah ciptaan Allah dan daripada Allah yang terdiri daripada Uluhiyah danRububiyah ALLAH :

i.    Rububiyah Allah bererti bahawa Allah itu adalah TUHAN bagi manusia kerana HANYA Dia sahaja yang mempunyai HAK dan KUASA ke atas Kedaulatan, Otoriti dan Undang-undang dan Dia juga mempunyai HAK untuk MENGABDIKAN MANUSIA KEPADA KUASA -NYA;

ii.   Uluhiyah Allah bererti Allah itu adalah TUHAN yang tunggal bagi manusia kerana segala kedaulatan, otoriti dan undang-undang yang dimiliki, dibuat dan diluluskan oleh Allah itu adalah DITAATI dan DIPATUHI oleh seluruh manusia yang diperintah;

2.     SYARIAT ALLAH adalah terdiri daripada segala PERATURAN dan UNDANG-UNDANG yang dimiliki, dibuat dan diluluskan oleh Allah;

3.     AKHLAK ALLAH adalah daripada Allah yang mengikut nilai-nilai dan neraca-neraca pertimbangan daripada Allah yang dikuatkuasakan dengan peraturan dan undang-undang Allah.

Erti agama Allah ialah satu ‘SISTEM KEHIDUPAN’ yang terdiri daripada peraturan dan undang-undang daripada Allah yang meliputi seluruh bidang kehidupan manusia, yang terdiri daripada amal ibadat ritual seperti solat, puasa, zakat, haji dan puasa, dan ibadat dalam bentuk ketaatan dan kepatuhan kita kepada peraturan dan undang-undang Allah dalam bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa. Dalam istilah Islam, ‘AGAMA’ diertikan sebagai ’AD-DEEN’, iaitu satu sistem kehidupan yang menyeluruh yang bukan hanya terhad kepada syiar-syiar ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji, dan nikah kahwin sahaja, tetapi juga meliputi seluruh bidang kehidupan manusia seperti bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa. Ad-Deen al-Islam adalah dimaksudkan kepada agama yang berkuasa dan memerintah yang bertujuan untuk menjalan dan menguatkuasakan segala peraturan dan undang-undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan manusia ke atas seluruh umat manusia. Agama Islam adalah agama politik. Agama tanpa politik ianya bukanlah agama Islam daripada Allah swt .

Allah memiliki sifat RUBUBIYAH, iaitu Dia adalah Tuhan kita kerana Dialah Raja dan Pemerintah yang berkuasa, berdaulat dan memerintah ke atas kita dan Dialah Raja yang berhak dan berkuasa untuk membuat peraturan dan undang-undang untuk kita dan Dialah Raja yang berhak dan berkuasa untuk menguat kuasakan segala peraturan dan undang-undang-Nya ke atas kita, dan justeru Dialah Tuhan kita dan kitalah para hamba yang menjadi para hamba kepada Dia, sebagai Tuhan kita. Allah memiliki sifat ULUHIYAH, iaitu Dia adalah Tuhan kita kerana Dia adalah Raja dan Pemerintah yang kita sembah apabila kita mentaati dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang Allah dalam seluruh bidang kehidupan manusia yang meliputi bidang-bidang solat, puasa, haji dan syiar-syiar ibadat yang lain dan bidang-bidang politik, ekonomi, sosial, akhlak dan perhubungan antarabangsa.

Para pemimpin kita dan Raja-Raja Melayu kita adalah Tuhan-tuhan kita kerana mereka ini kesemuanya memiliki sifat-sifat Uluhiyah dan Rububiyah, iaitu pertama-tama sekali melalui sifat Rububiyah yang dimiliki mereka ini mereka sebenarnya telah menjadikan diri mereka sebagai Tuhan-tuhan kita kerana mereka ini adalah Tuhan-tuhan yang berkuasa dan berdaulat untuk memerintah ke atas kita, mereka ini adalah Tuhan-tuhan yang membuat peraturan dan undang untuk kita, mereka ini adalah Tuhan-tuhan yang menguat kuasakan segala peraturan dan undang mereka ke atas kita, kita menjadi para hamba kepada mereka sebagai Tuhan-tuhan kita; kemudian melalui sifat ULUHIYAH yang dimiliki mereka, kita telah menyembah mereka ini sebagai Tuhan-tuhan kita kerana kita telah mentaati dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang dibuat oleh mereka. Para pemimpin dan Raja-Raja Melayu kita adalah Tuhan-tuhan kita yang berkuasa dan berdaulat ke atas kita serta merekalah Tuhan-tuhan kita yang kita sembah, dan agama yang kita imani, anuti dan amalkan kini adalah agama demokrasi yang syirik dan kufur.

Demokrasi adalah agama manusia yang syirik dan kufur kerana ianya adalah didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia :

1.     AQIDAH DEMOKRASI adalah ciptaan manusia yang selain daripada Allah yang terdiri daripada Uluhiyah dan Rububiyah MANUSIA :

i.      Rububiyah Manusia bererti para pemerintah itu adalah TUHAN-TUHAN bagi manusia kerana; pertama, mereka mempunyai HAK dan KUASA ke atas Kedaulatan, Otoriti dan Undang-undang; kedua, mereka mempunyai HAK dan KUASA untuk MENGABDIKAN MANUSIA KEPADA KUASA MANUSIA;

ii.   Uluhiyah Manusia bererti para pemerintah itu adalah TUHAN-TUHAN bagi manusia kerana segala kedaulatan, otoriti dan undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh para pemerintah itu adalah DITAATI dan DIPATUHI oleh golongan manusia yang diperintah;

2.     SYARIAT DEMOKRASI yang terdiri daripada segala PERATURAN dan UNDANG-UNDANG yang dibuat dan diluluskan oleh parlimen (fasal 44 Perlembagaan Negara) adalah ciptaan manusia yang selain daripada Allah;

3.     AKHLAK DEMOKRASI yang wujud dan berkembang di bawah kekuasaan dan undang-undang manusia adalah mengikut nilai-nilai dan neraca-neraca pertimbangan daripada manusia yang dikuatkuasakan oleh peraturan dan undang-undang manusia.

Demokrasi adalah agama manusia kerana ianya adalah didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia yang syirik dan kufur yang menafi dan mengingkari Uluhiyah dan Rububiyah Allah dan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ. Demokrasi adalah satu agama yang lain, yang berbeza dan berkontradiksi dengan agama Allah. Umat Islam kita sekarang ini sedang mempersekutu dan mengkufur ingkarkan Allah hanyalah kerana mereka mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi yang didasarkan kepada Uluhiyah dan Rububiyah Manusia. Mereka dikatakan sebagai melakukan kesyirikan dan kekufuran terhadap Allah kerana segolongan daripada mereka (para pemerintah) telah merampas Uluhiyah dan Rububiyah milik Allah dan diserahkannya kepada diri mereka sendiri untuk berkuasa dan memerintah ke atas segolongan manusia yang lain lagi (rakyat yang diperintah). Golongan pemerintah yang ditaati dan dipatuhi oleh golongan yang diperintah menjadikan diri mereka (golongan pemerintah) sebagai Tuhan-tuhan yang layak disembah oleh manusia, sementara golongan yang diperintah itu adalah para penyembah Tuhan-tuhan manusia itu.

Dalam keadaan yang sebegini, ‘PEMERINTAH’ dan ‘RAKYAT YANG DIPERINTAH’, kedua-duanya adalah sama-sama terlibat dengan gejala-gejala kufur seperti berikut :

1.     Pengabdian manusia kepada kuasa manusia, iaitu manusia mempunyai hak dan kuasa untuk  memerintah dan berkuasa ke atas manusia yang bererti menyerahkan hak Rububiyah kepada manusia;

2.     Manusia menyembah sesama manusia, iaitu manusia mentaati dan mematuhi peraturan dan undang-undang yang dibuat oleh segolongan manusia yang lain yang bererti menyerahkan hak Uluhiyah kepada manusia.

Dan justeru mereka itu, iaitu ‘PEMERINTAH’ dan ‘YANG DIPERINTAH‘ adalah kesemuanya melakukan kesyirikan dan kekufuran terhadap Allah yang mengeluarkan seluruh  mereka ini daripada agama Allah.

Perintah Allah supaya kita tidak mempersekutukan Allah bererti bahawa massa umat Islam kita sebagai rakyat yang bernaung di bawah kekuasaan kerajaan demokrasi ini, yang sedang terlibat dengan kesyirikan dan kekufuran, adalah berkewajipan untuk membebas, membersih dan mensucikan diri mereka daripada terlibat dengan gejala pengabdian manusia kepada sesama manusia dan gejala penyembahan manusia kepada sesama manusia supaya mereka terhindar daripada kesyirikan dan kekufuran, dan ke arah mencapai matlamat dan tujuan ini :

1.  Mereka hendaklah mencabut segala ketaatan dan kesetiaan mereka kepada kerajaan demokrasi ini, dan mereka hendaklah memisah dan mengasingkan diri mereka daripada kerajaan demokrasi ini;

2.     Mereka hendaklah melancarkan sikap dan tindakan-tindakan penafian, penolakan, pengingkaran dan penentangan  yang terbuka, aktif dan total terhadapnya (kerajaan demokrasi).

Ini adalah perintah-perintah dan tuntutan-tuntutan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ ke atas kita yang amat serius kerana ianya adalah perintah-perintah dan tuntutan-tuntutan yang berhubung kait secara langsung dengan AQIDAH kita. Ketaatan dan kepatuhan kepada segala tuntutan dan perintah ini bererti kesempurnaan kepada pegangan dan amalan kita akan kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ yang memasukkan kita kembali ke dalam Islam, manakala ketiadaan ketaatan dan kepatuhan kita kepadanya bererti pengingkaran dan penentangan yang serius terhadap kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ yang mengeluarkan kita daripada agama Allah.

Para ulama dan intelek Islam kita, sama ada dalam ceramah-ceramah atau tulisan-tulisan mereka, tidak pernah bercakap mengenai kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ, mengenai Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah, juga dan khususnya mereka tidak bercakap mengenai Uluhiyah dan Rububiyah Manusia yang sedang wujud, berkuasa dan berdaulat di dalam sesebuah kerajaan demokrasi ini. Mereka bercakap mengenai segala isu yang lain dalam Islam, tetapi anihnya mereka semuanya tidak pernah becakap mengenai isu yang paling induk dan “fundamental” dalam  Islam, iaitu kalimah  ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ ini sendiri. Kejahilan mengenai Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Rububiyah serta kalimah  ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ adalah punca berleluasanya gejala kesyirikan dan kekufuran di kalangan massa umat Islam kita.

Firman Allah : al-Anbia 25

Dan tiada seorang Rasul pun yang Kami utuskan sebelummu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Aku sahaja. Oleh itu abdikanlah diri kamu kepadaku.
Saiyyid Qutb (Fizilalil Quran):
Kepercayaan Tauhid merupakan asas Aqidah sejak Allah mengutuskan para Rasul-Nya kepada manusia, dan Aqidah ini tidak pernah berubah dan dipinda, iaitu mentauhidkan Tuhan Pencipta disamping mentauhidkan Tuhan yang disembah. Tiada perpisahan di antara Uluhiyah dan Rububiyah dan tiada ruang syirik dalam Uluhiyah dan Ubudiyah. Kepercayaan Tauhid merupakan asas yang teguh,  iaitu seteguh undang-undang alam buana dan ia berhubung rapat dengan undang-undang alam buana dan merupakan salah satu daripada undang-undang itu.

Setiap Rasul diutuskan silih berganti pada setiap zaman kepada manusia dengan membawa kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ. Sejak Nabi Adam as sehinggalah kepada Rasulullah saw dan sehinggalah kepada zaman kita kini, dakwah Islam hanyalah kalimah ﻵﺍﻟﻪﺍﻷﺍﷲ yang membawa mesej yang sama dan seragam pada setiap zaman dan waktu serta di setiap penjuru di bumi ini, iaitu seruan supaya menyembah Allah sahaja dan tidak yang selain daripada-Nya yang dijelmakan dalam bentuk ketaatan dan kepatuhan kepada kerajaan Allah di bumi bersekali dengan ketaatan dan kepatuhan kepada segala peraturan dan undang-undang Allah yang diikuti dengan mengamalkan sikap dan tindakan-tindakan untuk menafi, menolak, mengingkari dan menentang dengan terbuka, aktif dan total terhadap kerajaan manusia bersekali dengan segala peraturan dan undang-undang manusia. Inilah agama Islam seperti yang wujud pada zaman dahulu, inilah agama Islam yang wujud pada hari ini dan agama Islam akan tetap kekal seperti ini pada masa-masa akan datang tanpa sebarang perubahan sedikitpun.

No comments:

Post a Comment